‘Daddy…’, jeritan terakhir Achmad sebelum rentung

13 hours ago 6

KUALA LANGAT – Jeritan terakhir ‘daddy’ menjadi detik memilukan bagi Mohamad Iszwan Osman, 37, yang gagal menyelamatkan anak lelakinya, Mohamad Achmad Mohamad Iszwan, 6, yang rentung dalam kebakaran di Taman Baiduri, Banting, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.09 pagi dengan mayat mangsa ditemui di bilik atas bahagian belakang rumah teres dua tingkat itu.

Menceritakan detik kejadian, Mohamad Iszwan berkata, semasa kejadian dia dan isterinya, Dayana Zainol Abidin, 35, tiada di rumah berkenaan bagi mengambil dua anaknya yang lain di rumah ibu mentua di Taman Banting Baru di sini, kira-kira pukul 3.30 pagi.

“Selepas menerima panggilan telefon mengenai kebakaran itu, saya bergegas pulang dan melihat api sedang marak.

“Saya cuba memanjat tingkap belakang rumah untuk menyelamatkan arwah namun gagal kerana terlalu panas lalu terjatuh. Saya juga terdengar suara arwah memanggil ‘daddy’ sebanyak sekali sebelum tidak kedengaran lagi,” katanya sebak ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Unit Forensik Hospital Banting, di sini.

Kebakaran itu turut mencederakan bapa dan ibu saudara arwah yang berusia lingkungan 30-an.

Menurut Mohamad Iszwan yang juga tukang gunting rambut, dia sempat meluangkan masa bersama anak kedua daripada empat beradik itu di rumah berkenaan, kira-kira pukul 9 malam tadi.

“Arwah yang sememangnya manja dan periang itu bergurau senda dengan saya dengan bermain baling kunci dan meminta air sejuk.

“Dia selalu ini selalu tidur dengan saya setiap malam dan tidak sangka itu antara detik indah terakhir bersamanya,” ujarnya.

Sementara itu, Dayana yang juga guru taska berkata, arwah anaknya yang fasih berbahasa Inggeris demam dan tidak ke sekolah selama dua hari.

“Namun, dia kembali ke sekolah Rabu lalu dan ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Pasir, Banting pukul 3 petang tadi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |