Arab Saudi tetapkan bayar dam jadi pra-syarat visa haji 1447H

16 hours ago 6

PETALING JAYA – Kerajaan Arab Saudi menetapkan bayaran dam sebagai pra-syarat proses pengeluaran visa haji bagi jemaah yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran bermula musim haji 1447H/2026M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan, setiap bakal jemaah terlibat perlu membuat bayaran dam lebih awal kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI).

Menurut TH, jumlah bayaran yang ditetapkan bagi musim haji tahun ini adalah RM810 bagi seekor kibas.

“ADAHI TH akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi pihak jemaah. Pelaksanaan ini merupakan syarat baharu yang ditetapkan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim haji ini.

“TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” katanya.

Bayaran dam perlu ditunaikan mengikut jenis ibadat haji yang dipilih dan boleh dibuat menerusi aplikasi THiJARI serta di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan.

Bagaimanapun, bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, TH akan membekukan jumlah tersebut daripada akaun masing-masing bermula 1 Syawal sebelum proses pendebitan dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu menjelaskan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci.

Bagi jemaah yang memilih haji Ifrad, bayaran tersebut akan dipulangkan semula sekiranya akaun TH telah didebitkan, selepas perakuan dibuat dan tertakluk kepada pengesahan pihak TH.

Sementara itu, penyertaan ibadah korban di Tanah Suci tahun ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas. Pembayaran boleh dilakukan melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH di seluruh negara.

Dalam pada itu, TH menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam dan korban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak tidak sah.

“Ini kerana kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi diperlukan untuk melaksanakan dam dan korban di Tanah Suci,” jelas kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh melayari laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |