LONDON – Stadium Emirates diharapkan mampu membawa tuah buat Arsenal bagi memburu kemenangan ke atas Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.
Selepas kempunan untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sudah pun dimenangi Liverpool, aksi UCL menjadi satu-satunya peluang buat The Gunners menamatkan saingan musim ini dengan kejuaraan.
Pemain sayap Arsenal, Leandro Trossard mengharapkan bantuan penyokong sendiri dalam usaha mereka mendapatkan bekalan selesa sebelum beraksi pada perlawanan timbal balik di Parc des Princes, Paris minggu depan.
“Semua pemain sudah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi menentang PSG. Kami sudah mendapat rehat yang cukup dan peluang itu digunakan sebaiknya bagi melakukan persiapan terbaik.
“Bermain di laman sendiri, saya harap semua penyokong teguh memberikan sokongan bagi menghasilkan suasana hebat. Sokongan mereka boleh membantu kami untuk mengeluarkan permainan sebenar,” katanya.
Atas kertas, Arsenal dianggap sebagai pasukan pilihan memandangkan mereka berjaya menyingkirkan juara 15 kali, Real Madrid menerusi kemenangan agregat 5-1 pada pusingan suku akhir.
The Gunners juga belum pernah tewas kepada PSG dalam lima pertemuan terdahulu dengan perlawanan terakhir pada Oktober tahun lalu menyaksikan mereka menang 2-0 ke atas juara Ligue 1 itu.
“Kami perlu menghasilkan aksi sama seperti sebelum ini, begitu juga penyokong ketika perlawanan menentang Real. Sekiranya kami mampu mengulanginya, ia pasti menjadi satu perkara hebat,” ujar Trossard.
Sebagai rekod, kali terakhir Arsenal melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara adalah pada 2006 di mana mereka terpaksa akur sekadar muncul naib juara selepas tewas 1-2 kepada Barcelona. – AGENSI