‘Saya nampak tengkorak, perempuan peluk jenazah’

10 hours ago 8

NAMA Noraniza Idris bukan lagi asing dalam industri seni. Sebut sahaja namanya, visual penyanyi bersuara lunak mengalunkan lagu-lagu irama Malaysia dengan segerombolan angkatan penari di atas pentas pantas mewarnai ingatan.

Itulah ‘tanda dagang’ Noraniza Idris yang tidak tertanding siapa pun.

Kebelakangan, pemilik nama asal Nor Aniza Idris bagaimanapun dilihat memperlahankan rentak dan fokus ke arah perniagaan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam budaya pelancongan dan akademi tari Noraniza Idris Dance Academy (NIDA).

Sengaja mengajaknya berkongsi cerita empat, usahawan yang baru-baru ini mengisi berita dengan kisah menjadi mangsa penipuan hampir setengah juta itu mengungkit satu persoalan yang bermain di minda.

Kata penyanyi bergelar Ratu Etnik Kreatif itu, sejak awal tahun ini dia sering mengalami mimpi pelik.

Akuinya, entah kenapa dia turut diselubungi perasaan malas yang seolah-olah menghambatnya untuk sekadar terperuk, berdiam tanpa berbuat apa-apa.

NOraniza tidak mengesyaki sebarang hasad dengki orang terhadap dirinya.
– SADDAM YUSOFF

“Percaya atau tidak, gangguan mistik memang tak boleh lari daripada kehidupan manusia, terutama sekali penyakit ain.

“Saya jadi malas, tak nak terlibat dengan apa-apa, enggan bekerja dan selalu mengantuk. Memang itu yang saya selalu lalui. Saya pernah berada di pentas dan rasa menggigil.

“Baru-baru ini, saya selalu mimpi nampak bentuk 3D, menakutkan pun ada, nampak tengkorak, perempuan peluk jenazah dan bila tengok wajah individu itu betul-betul, rupa-rupanya itu saya,” luahnya.

Begitupun, sehingga kini penghibur yang mesra disapa Kak Ani itu belum bertemu pengamal perubatan atau ahli agama bagi mendapatkan penjelasan.

“Saya tak pergi berubat lagi. Nasib ada suami yang selalu bagi semangat,” katanya kepada HibGlam.

Lebih percayakan kuasa Allah, Kak Ani cuba lagak normal walaupun berdepan situasi membingungkan.

“Saya pernah dengar siaran langsung Datuk Nora Ariffin, dia sarankan tak berubat tradisional, sebaliknya pergi ke Darussyifa.

“Suami pula pesan amalkan surah tertentu dan saya buat seperti biasa, solat, minta pelindungan Allah dan yakin Allah sentiasa dengar hajat hamba-Nya.

“Kalau rezeki ditutup, minta Allah buka jalan. Saya tak berubat mana-mana dan tak bersangka buruk kepada sesiapa sebab saya tak bercampur sangat. Tertanya-tanya juga kenapa mimpi begitu mungkin saya penat,” kongsinya.

Noraniza Idris pernah menjerut rasa, merajuk, marah dan bencikan lorong kotor industri hiburan yang gemar kesempatan tanpa rasa tanggungjawab.

Menukar topik, Kak Ani menyifatkan tahun ini sebagai tempoh yang merugikan bagi dirinya kerana menyepi daripada dunia seni.

“Tahun ini, saya rasa rugi sebab terlampau fokus dengan ‘groundwork’. Jadi, saya berhasrat untuk buat kemunculan semula dalam industri dengan menerbitkan lagu-lagu irama Malaysia.

“Insya-Allah, bulan ini saya nak lancarkan single terbaharu yang dinyanyikan artis bawah NIPV Management sebagai permulaan aktif semula. Saya dah buang rasa kecewa terhadap industri.

“Tapi bila fikir balik saya rasa perjuangan saya selama ini rugi. Kenapa saya perlu mengalah, sebab itu 25 Ogos ini ada buah tangan baharu daripada saya,” katanya.

Tentang kecewa, penyanyi Hati Kama itu merujuk tentang rasa sakit yang tertinggal akibat beberapa kali menjadi mangsa penipuan.

“Dalam industri muzik, kita seperti satu landasan yang ikutkan bersih. Kita tahu bagaimana nak uruskan kerjaya nyanyian.

“Tapi bila buat program CSR, kita sangat dekat dengan ‘scammers’. Bukan saya cepat terpengaruh, kadang-kadang tak sedar pun kena tipu.

“Situasi begitu buat saya jadi penat. Kita nak melawan arus bagi orang suka irama budaya, bila nak buat sesuatu betul-betul hebat, tapi yang terlibat sama adalah orang tak jujur.

“Saya jadi kecewa dengan masyarakat yang suka mempergunakan orang lain atas kepentingan peribadi,” jelasnya.

PULIH daripada banyak kekecewaan, Noraniza tidak sabar lagi untuk berkongsi karya baharunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

‘Comeback’

Sebagai penyanyi, Kak Ani bagaimanapun sedar, rajuk terhadap industri tidak harus terheret lama. Rindu nyanyian dan perjuangan mengangkat seni anak bangsa mengembalikan kebangkitan semangatnya.

“Ambil masa setahun untuk saya pulih. Dalam tempoh itu, saya menolak dan benci pada industri. Awalnya, saya rasa kesal sangat sampai tak boleh move on dengan kerjaya nyanyian.

“Tapi lama-lama terubat sendiri. Sebagai orang seni, kita tak boleh tipu diri sendiri, minat sentiasa ada.

“Kalau cakap nak putus asa atau nak berhenti, memang tak boleh,” ujarnya.

Mahu membuka laluan untuk artis naungannya, penyanyi berusia 57 tahun itu akan hadir dengan buah tangan baharu, namun tidak diperincikan lebih lanjut.

“Sebenarnya ada (single) tapi saya tidak mahu cakap sebab nak fokus kepada artis bawah NIPV Management dahulu.

“Mungkin tahun ini (lancar single sendiri) cuma tak boleh cakap lebih sebab ada kolaborasi.

“Itu single saja kerana album perlukan promosi dan pasukan yang kuat. Saya tidak mahu buang duit macam dulu,” jelasnya.

Tidak lagi memburu trofi pertandingan atau anugerah, dia juga sedar sedang berdepan kesukaran menambat hati peminat generasi kini.

“Dunia pertandingan bukan lagi zaman saya sebab kualiti pendekatan dah berbeza. Cara orang minat kepada satu-satu lagu pun lain.

“Tidak hanya lagu yang sedap didengar, tapi macam mana kita promosikan. Pengaruh pengikut boleh cenderung ke arah cara produk itu diperkenalkan.

“Kalau setakat untuk pertandingan, bawalah lagu bagus macam mana, kalau cara tak betul tak akan sampai juga,” tambahnya.

NORANIZA tidak lagi memburu trofi pertandingan atau anugerah. Dia sedar sedang berdepan kesukaran menambat hati peminat generasi kini.

Reda

Menukar gelanggang perbualan, anak jati Kluang, Johor itu berkongsi mengenai perniagaannya yang diusahakan dengan titik peluhnya.

Malangnya, dia berdepan si penipu yang hampir memusnahkan segala impiannya

“Titik terendah saya dalam perniagaan ketika ditipu sebanyak RM600,000 sampai nak tutup kilang.

“Pelaku itu sampai sekarang macam tak ada rasa bersalah. Dia diam saja tapi saya cakap dengan anak-anak, kita reda sahaja.

“Saya tidak mahu terus saman sebab nanti kena habiskan duit bayar peguam pula. Sejak saya kena, ramai yang tampil mengaku pernah berdepan isu sama. Sekurang-kurangnya, saya selamatkan usahawan lain daripada terkena,” tutupnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |