Tukang kebun mengaku tidak bersalah miliki pisau, samun wanita

6 hours ago 5

KANGAR – Seorang tukang kebun di sebuah jabatan kerajaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki senjata tajam dan menyamun serta mencederakan seorang wanita di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.

Tertuduh, Mohd. Khairi Mat Puhat, 38, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim dan memohon agar kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibicarakan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili dua peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Che Ahmad dan Afida Nurizzatie Abdul Lateh.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Khairi didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau tanpa sebab munasabah di tepi tandas awam parkir kereta Pasar Pagi Medan Mahkota pada pukul 8.30 pagi, 15 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Yap Beng Fong, 49, di lokasi dan waktu yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta dikenakan denda atau sebat.

Mohd. Alif Farhan mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun barisan peguam tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guam mereka bekerja sebagai tukang kebun bergaji tidak tetap dan menanggung empat orang tanggungan.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jumlah tersebut. Mahkamah turut menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |