Tren tergelincir di Chan Sow Lin, 25 penumpang dipindahkan

14 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan hari ini susulan sebuah tren telah tergelincir ketika sedang melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dalam kenyataan memaklumkan, insiden itu menyebabkan tren tersebut tidak dapat bergerak sekali gus menyebabkan jadual perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling pada pagi ini terjejas.

Menurutnya, seramai 25 penumpang yang berada di dalam tren terlibat berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi ditetapkan.

“Pasukan teknikal kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan operasi secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran memaparkan pengguna terpaksa diturunkan dari tren dan berjalan di atas trek untuk proses pemindahan dijalankan.

Menurut hantaran seorang pengguna @I.shzni di Thread, dia memuat naik beberapa keping gambar serta video memaparkan situasi yang dihadapinya pada pagi tadi.

“Punca LRT lambat hari ni. Laluan antara stesen Chan Sow Lin ke Cheras. Pukul 6.15 pagi ya kena macam ni,” tulisnya.

Sementara itu, Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren alternatif telah diaktifkan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.

Antara perkhidmatan disediakan ialah tren dari Sentul Timur yang akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit.

Selain itu, tren perantara turut disediakan di antara Stesen Cheras dan Bandar Tasik Selatan di platform 1 dengan kekerapan lapan minit serta tren perantara di antara Stesen Ampang dan Pandan Jaya di platform 1 dengan kekerapan lima minit.

Rapid KL turut memaklumkan tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan empat minit.

Dalam pada itu, bas perantara percuma turut disediakan di antara Stesen Pudu ke Cheras dan Pandan Jaya bagi memudahkan penumpang meneruskan perjalanan.

Penumpang turut disarankan menggunakan laluan rel alternatif lain untuk ke destinasi masing-masing selain mendapatkan bantuan daripada Pegawai Stesen atau Polis Bantuan jika diperlukan.

Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |