Tingkap rumah bergegar ketika letupan misteri

6 hours ago 2

IPOH – Penduduk di bandar raya ini terus diselubungi misteri apabila sekali lagi dikejutkan dengan dentuman kuat hingga mengegarkan rumah ketika polis mengesahkan tiada sebarang aktiviti meletupkan kuari atau latihan membabitkan bahan le­tupan dilakukan semalam.

Letupan pada pukul 10.30 pagi itu dikatakan mirip dengan bunyi yang didengari pada Oktober tahun lalu.

Salamiah Mohd. Nor, 37, berkata, dia terkejut apabila mende­ngar bunyi itu ketika berada di rumahnya di Chemor di sini, sebelum bertanya kepada jirannya.

“Jiran pun kata dengar, namun kami bersepakat untuk tidak memikirkannya kerana letupan kali terakhir pun masih misteri apa puncanya. Ada juga rakan kami di sini dan Meru yang dengar,” katanya.

Nurul Azwani, 28, pula berkata, dia dapat merasai gegaran ekoran letupan kuat itu ketika berada di dalam pejabatnya di sini.

“Ada bunyi kuat, walaupun saya berada di dalam pejabat pun, masih dapat merasainya. Rasa tingkap bergegar,” katanya.

Pada 22 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan berlaku gegaran selepas bunyi dentuman kuat di beberapa kawasan meliputi Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, letupan itu bukan berpunca daripada sebarang latihan letupan oleh pasukan kese­lamatan mahupun aktiviti kuari.

“Semakan awal bersama Pasukan Gerakan Am Briged Utara mendapati tiada sebarang latihan melibatkan letupan dijalankan hari ini (semalam).

“Pejabat Tanah dan Galian juga memaklumkan tiada sebarang aktiviti letupan kuari sebelum pukul 12 tengah hari. Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan tiada aktiviti seismik direkodkan di sekitar Ipoh,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini tiada laporan kecederaan mahupun kerosakan harta benda diterima berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan masih diteruskan secara menyeluruh bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesejahte­raan masyarakat.

“Orang awam dinasihatkan agar bertenang dan tidak menyebarkan spekulasi yang tidak sahih terutama melalui media sosial bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |