Tiga lelaki mengaku bersalah jadi keldai akaun

11 hours ago 6

PONTIAN – Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjadi keldai akaun dengan membenarkan akaun bank mereka digunakan dalam beberapa kes penipuan dalam talian dan urusan pembelian lensa kamera.

Tertuduh, Addison Lau Xian Liang, 31, Liew Chun Kee, 35, dan Ahmad Firdaus Barudin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurhafiza Haron.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana secara tidak jujur mengalihkan harta yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Xian Liang didakwa secara tidak jujur mengalihkan harta milik Mahdzir Ismail berupa wang tunai RM1,000 ke dalam akaun miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah mesin deposit tunai (CDM) di GS Mart, Serkat dekat sini pada pukul 1.32 petang, 15 Januari lalu.

Sementara itu, Chun Kee berdepan dua pertuduhan iaitu mengalihkan wang tunai RM600 dan RM2,000 milik John Lee ke dalam akaun miliknya di Taman Idaman, Pontian masing-masing pada 31 Januari dan 1 Februari lalu.

Bagi pertuduhan berasingan, Ahmad Firdaus didakwa secara tidak jujur mengalihkan wang tunai RM1,801 milik Muhammad Fahmi Muhamad Fauzi ke dalam akaunnya di Kampung Api-Api, Pontian pada 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Sahira Rosley, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM1,000 terhadap Xian Liang atau penjara sebulan jika gagal membayar.

Chun Kee pula didenda RM600 bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 bagi pertuduhan kedua, masing-masing dengan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Bagi Ahmad Firdaus, mahkamah mengenakan denda RM1,800 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya.

Kesemua tertuduh bagaimanapun menjelaskan denda yang dikenakan oleh mahkamah.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |