Tidur selepas sahur boleh undang ‘serangan’ GERD

19 hours ago 5

PETALING JAYA – Orang ramai terutamanya mereka yang mula berpuasa hari ini dinasihatkan supaya tidak terus tidur selepas bersahur.

Ini kerana menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), tindakan itu boleh mengundang serangan GERD (Gastroesophageal Reflux Disease).

Simptom serangan penyakit tersebut adalah dada rasa pedih terbakar dan tekak rasa sangat masam serta pahit.

Kata PHM, serangan tersebut hadir apabila individu itu baring mendatar (flat), menyebabkan asid cecair itu akan mengalir bebas ke paras yang sama dengan injap kerongkong.

“Perut kita ada satu injap penutup (Lower Esophageal Sphincter – LES). Apabila perut terlalu penuh dengan makanan berat (nasi lemak/lemak tinggi), tekanan dalam perut meningkat. Ditambah dengan posisi baring mendatar, tekanan ini akan memaksa injap LES terbuka, lalu asid memancut naik ke saluran makanan (esofagus)!,” katanya.

PHM memberitahu, semasa tidur, sistem badan akan ‘berehat’ dan proses usus menghadam makanan akan jadi sangat perlahan.

“Makanan akan tersadai lama dalam perut, menapai, dan menghasilkan gas yang menolak lebih banyak asid naik ke dada,” katanya.

Mengulas lanjut, PHM berkata, kesan buruk serangan ini juga boleh menyebabkan dada pedih terbakar (heartburn). suara jadi serak dan batuk kering sebab asid dah ‘bakar’ peti suara serta mulut berbau sangat busuk (bau asid perut).

Lebih membimbangkan, risiko asid masuk ke paru-paru (aspiration Pneumonia) yang boleh membawa maut.

Justeru, PHM menasihatkan orang yang berpuasa supaya jarakkan sekurang-kurangnya dua jam selepas makan sebelum anda tidur semula.

“Kalau mengantuk tahap ‘koma’, jangan baring mendatar. Tinggikan bantal atau tidur dalam posisi bersandar (45 darjah) supaya kedudukan dada lebih tinggi dari perut.

“Selain itu, lepas sahur, jangan ke katil, terus siap-siap ke masjid, solat subuh, baca al-Quran, atau kemas meja makan. Biar makanan turun ke usus dulu,” kata PHM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |