SHAH ALAM – Media Selangor menerusi Kluster Penjanaan Hasil melancarkan kempen khas dikenali sebagai SAMA, satu inisiatif berkonsepkan aktivasi lapangan yang bertujuan memperkukuh kolaborasi strategik bersama vendor, klien dan komuniti menerusi siri jelajah di seluruh negeri Selangor.
Kempen SAMA akan dilaksanakan melalui pelbagai siri jelajah merangkumi jelajah daerah, komuniti, institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah, dengan pendekatan yang interaktif, inklusif dan berimpak tinggi kepada masyarakat setempat, termasuk mengetengahkan program serta inisiatif Kerajaan Negeri Selangor.
Antara pengisian utama aktivasi lapangan di bawah kempen ini adalah perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran serta penglibatan komuniti secara menyeluruh yang dirangka berasaskan keperluan sebenar masyarakat sasaran.
Ketua Kluster Penjanaan Hasil Media Selangor, Nursuziana Zulkifli berkata, menerusi SAMA, Media Selangor berperanan sebagai platform penghubung strategik antara klien, rakan industri dan masyarakat.
“Menerusi SAMA, Media Selangor menyampaikan nilai, kemahiran, teknik serta maklumat bermanfaat secara langsung kepada komuniti, sekali gus mewujudkan hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.
“Pelaksanaan kempen SAMA mencerminkan evolusi Media Selangor sebagai sebuah organisasi media yang berkembang kepada entiti perniagaan pelbagai (diversified business), merangkumi kepakaran dalam pengurusan acara, penganjuran seminar, pengurusan kempen komunikasi serta pengurusan krisis, selari dengan keperluan industri dan landskap komunikasi semasa,” katanya.
Tambahnya, kempen SAMA bukan sekadar aktivasi di lapangan, tetapi satu platform strategik yang mencerminkan keupayaan Media Selangor sebagai rakan kolaborasi menyeluruh kepada klien dan vendor.
Majlis pelancaran kempen SAMA telah diadakan bersempena Townhall Media Selangor dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, sebagai platform pengenalan awal kempen ini kepada umum, khususnya kepada vendor berpotensi yang berminat untuk terlibat dalam siri jelajah akan datang.
Jemputan kepada vendor bagi menghadiri sesi townhall tersebut juga merupakan langkah awal ke arah membuka ruang kerjasama strategik serta menggalakkan penyertaan aktif dalam menjayakan kempen SAMA pada masa hadapan.
Dalam pada itu, kempen SAMA tidak hanya tertumpu kepada aktiviti jualan dan pemasaran produk atau perkhidmatan, sebaliknya diperluaskan kepada penganjuran bengkel kecantikan dan kesihatan, sesi perkongsian ilmu, demonstrasi praktikal, bengkel keusahawanan serta program kesedaran masyarakat berkaitan isu sosial, kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.
Kempen tersebut turut membuka ruang kepada pelaksanaan pengumuman khidmat awam (PSA), aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), program kemasyarakatan seperti gotong-royong serta pelbagai inisiatif berbentuk ilmiah dan pendidikan yang mampu memperkasakan komuniti.
Kempen SAMA dijangka menjadi platform berterusan yang bukan sahaja mempertemukan vendor, klien dan komuniti, malah mengukuhkan peranan Media Selangor sebagai pemangkin kolaborasi strategik yang memberi manfaat bersama, selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi dan sosial negeri Selangor. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
8



![[VIDEO] Dugaan Ramadan, penduduk di Kluang diuji banjir kilat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/d9ed92fa-439a-42f6-becb-324818b7d3a6.jpeg)













































