Doa orang tua kita yang dah tiada dikurniakan Jannah – Anuar Zain

16 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Kehilangan kedua-dua ibu bapa tercinta menjadi tunjang penguat hubungan persaudaraan penyanyi Anuar Zain bersama lima beradik termasuk Ziana Zain.

Pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain, 56, sedaya upaya mencari masa untuk berbuka puasa bersama keluarga walaupun terikat dengan kesibukan jadual kerja.

“Tahun ini berpuasa seperti biasa, saya dan adik-beradik akan berkumpul satu minggu. Cuma ada satu hari saya terpaksa ‘cheat’ sebab ada mesyuarat bersama komposer Singapura.

“Selalunya masing-masing sibuk juga. Kalau ada peluang untuk buka puasa sekali, kami akan buat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun lagu Ketulusan Hati itu, keakraban mereka berlima adalah tunjang utama kekuatan keluarga selepas pemergian ayah dan ibu tersayang ke rahmatullah.

“Kami pula sudah tinggal berlima, ayah ibu pergi meninggalkan kami. Saya harap kami adik-beradik dapat bersatu seperti biasa.

“Saya juga harap kami sentiasa melayari kehidupan dengan tabah dan tenang.

“Semoga Allah kurniakan rahmat buat saya, adik-beradik dan keluarga melalui Ramadan dan Aidilfitri dengan tenang dan tabah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anuar turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan rasa penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan keluarganya.

“Saya juga doakan semua yang mendoakan ibu bapa serta keluarga saya agar anda dikurniakan Jannah (syurga).

“Dipermudahkan urusan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Selamat berpuasa, semoga tenang sentiasa,” tuturnya.

Tahun lalu merupakan tahun yang cukup mencabar buat keluarga besar Anuar apabila kehilangan kedua-dua tonggak keluarga dalam tempoh yang singkat.

Sebelum ini, bapa kepada Anuar iaitu Allahyarham Zain @Zin Abdullah, 87, meninggal dunia akibat kanser prostat pada 26 Ogos tahun lalu.

Selepas empat bulan pemergian bapa, ibunya Robiah Abdul meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Klang pada usia 74 tahun akibat kanser hati. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |