‘Bagi ruang belah sana fikir, kalau boleh tak nak ke mahkamah’

17 hours ago 8

PETALING JAYA – Enggan bertindak melulu, tujuan utama pelakon Mia Sara Nasuha mendiamkan diri saat namanya ‘diheret’ Puteri Balqis sebelum ini adalah kerana enggan persengketaan antara mereka berakhir di kandang mahkamah.

Mia atau nama lengkapnya Mia Sarah Nasuha Muhammad Ridhuan, 21, memaklumkan, dia seboleh-bolehnya mengelak permasalahan yang timbul antara mereka berakhir di muka pengadilan.

“Orang nak bagi ruang untuk pihak sana berfikir, kalau boleh tak nak masuk mahkamah.

“Akan menyusahkan pihak sana, saya masih ada empati,” katanya dalam Threads.

Kenyataan tersebut disuarakan selepas seorang netizen mempersoalkan tindakannya yang lewat memberikan respons terhadap dakwaan yang dilemparkan.

Bagaimanapun, pelakon filem Strawberi & Karipap itu tidak teragak-agak untuk meneruskan tindakan saman sekiranya amaran yang diberikan tidak diendahkan.

“Saya tidak katakan tak teruskan saman, saya cuma beri amaran jadi mereka ada masa untuk berfikir secara rasional.

“Tapi seperti yang saya katakan, kalau masih nak memburukkan, saya akan teruskan,” jelasnya lagi dalam ruangan komen.

Selain itu, dia percaya bahawa kesabaran adalah kunci utama bagi memastikan penjelasan yang diberikan tidak dicemari dengan kata-kata nista.

“Bila kita terburu-buru untuk berkata dengan perasaan marah, yang keluar nanti caci maki sahaja.

“Bila kita tenang dan sabar, baru boleh berfikir secara rasional dan jawab berasaskan fakta bukan emosi,” tulisnya lagi.

Pada Januari lalu, media sosial panas sebaik Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish ‘menempelak’ Mia agar menyelesaikan isu antara mereka dengan dua pilihan selepas Mia didakwa turut pernah memalukan ibunya.

Dalam masa sama, Aqish menyifatkan tindakan Mia yang mengalirkan air mata di hadapan pihak media baru-baru ini hanyalah sekadar usaha untuk meraih simpati khalayak.

Tidak terhenti di situ, Aqish turut membangkitkan semula pengalaman pahit menjadi mangsa buli yang didakwa dilakukan Mia ketika mereka memulakan kerjaya dalam industri seni.

Malah, dia turut mendakwa wujud perbezaan ketara keperibadian sebenar Mia dengan imej murni yang dipaparkan menerusi media sosial.

Semalam, Mia tampil mempertahankan dirinya dengan mendedahkan hanya bertemu dengan Aqish sekali seumu hidup ketika berusia tujuh tahun dan tidak pernah melakukan sebarang perbuatan buli.

Malah, Mia juga mengakui disekat Aqish di semua platform media sosial sehingga mendorongnya melakukan permohonan maaf secara terbuka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |