Kongsi gelap edar dadah RM8.4 juta tumpas

12 hours ago 7

SHAH ALAM – Kumpulan kongsi gelap yang aktif mengedar pelbagai jenis dadah di Lembah Klang sejak Julai tahun lalu lumpuh selepas lima individu termasuk ketuanya ditahan polis dalam Op Bena, 12 Februari lalu.

Penahanan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 37 tahun itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menerusi empat serbuan bersepadu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, dengan rampasan dadah bernilai RM8.4 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama melibatkan penahanan seorang lelaki dengan rampasan 110 bungkusan plastik disyaki dadah methamphetamine seberat 114.6 kilogram (kg) di kawasan perumahan sekitar Bandar Saujana Putra, Kuala Langat.

Jelasnya, polis turut memberkas seorang lelaki dan menemukan 22 bungkusan plastik disyaki dadah sama seberat 22.87 kg di lokasi itu.

“Susulan itu, seorang lagi suspek lelaki ditahan di sebuah bangunan di Jalan Choo Cheng Khay, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan menemukan dua bagasi mengandungi 500 katrij disyaki berisi MDMA, empat plastik seberat 4.16 kg methamphetamine, 25 bungkusan heroin (10.18 kg), sebungkus ganja (542 gram), sebungkus ekstasi (344 gram) dan 1,060 aluminium foil berisi pil Eramin 5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.

Penahanan terakhir melibatkan dua lagi suspek termasuk seorang wanita dalam sebuah kereta Mercedes Benz di Petaling Jaya.

Menurut Hussein, siasatan mendapati sindiket itu menyembunyikan dadah dalam kenderaan yang ditinggalkan di lokasi ditetapkan sebelum pembeli datang mengambil bekalan berkenaan.

“Kumpulan ini pernah disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain kes bunuh, khianat dengan api, mendatangkan cedera parah serta ugutan. Mereka terlibat dalam gangsterisme di sekitar Lembah Klang. Berkaitan nama kumpulan, itu masih dalam siasatan polis,” ujarnya.

Tambah beliau, semakan mendapati empat suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan seorang daripadanya turut mempunyai rekod kes narkotik.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bernilai RM500,000 termasuk tiga kereta iaitu Mercedes Benz, BMW 320i, Toyota Yaris,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |