ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor akan menyelaraskan dan menetapkan kadar sewa petak bazar Ramadan yang dikendalikan pihak penganjur swasta di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, penyelarasan itu sebagai langkah mengawal harga tapak bazar yang tidak masuk akal yang dikenakan pihak penganjur.
Menurutnya, penetapan itu dijangka akan mengehadkan keuntungan sebanyak 30 peratus daripada kadar sewaan petak tertakluk kepada lokasi dan fasiliti disediakan penganjur.
“Bermula Ramadan tahun ini, kerajaan negeri telah menetapkan kadar sewaan petak Bazar Ramadan di semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada RM500 kebawah.
“Manakala bagi Bazar Ramadan swasta, kita cadang melakukan penyelarasan harga sewa petak agar tidak terlalu tinggi, mungkin keuntungan penganjur kira-kira 30 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas selepas melawat tapak Bazar Ramadan Nusa Perintis di sini hari ini.
Mohd. Jafni berkata, langkah itu bakal dilaksanakan susulan beberapa aduan diterima pihaknya yang mengatakan terdapat petak bazar Ramadan yang disewa dengan harga tinggi mencecah RM5,000 sebulan.
“Sebelum ini bazar Ramadan swasta memang penganjur ada kawalan sendiri untuk meletakkan kadar sewa, sudah bertahun-tahun begitu, namun kita tahu keuntungan diterima peniaga tinggi menyebabkan harga sewa mahal seolah-olah perkara biasa.
“Namun bermula tahun depan tidak lagi, kerajaan negeri sudah memulakan ‘engagement’ berhubung perkara itu beberapa bulan lalu,”katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat sebanyak 224 lokasi bazar Ramadan tahun ini dengan 13,576 petak disewakan, peningkatan 819 petak berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pada 19 Januari lalu, Mohd. Jafni dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menetapkan kadar sewa petak Bazar Ramadan di kesemua 16 PBT seluruh negeri kepada bawah RM500 untuk meringankan beban peniaga kecil.-KOSMO! ONLINE

11 hours ago
5



![[VIDEO] Dugaan Ramadan, penduduk di Kluang diuji banjir kilat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/d9ed92fa-439a-42f6-becb-324818b7d3a6.jpeg)













































