PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan supaya tidak memaksa diri meneruskan puasa jika mengalami tanda bahaya kesihatan kerana ia boleh mengundang komplikasi serius termasuk koma dan strok.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di laman Facebook menjelaskan bahawa menjaga nyawa adalah keutamaan dalam Islam dan individu yang berdepan risiko kesihatan wajib berbuka puasa serta-merta.
Menurut perkongsian itu, terdapat empat tanda amaran utama yang menunjukkan seseorang perlu membatalkan puasa demi keselamatan diri.
“Keadaan pertama ialah hipoglisemia atau paras gula darah terlalu rendah. Antara tanda termasuk tangan menggigil, peluh sejuk, jantung berdebar dan pandangan kabur.
“Bacaan gula bawah 3.9 mmol/L boleh menyebabkan otak kekurangan glukosa dan pesakit berisiko sawan atau koma jika tidak segera mengambil minuman manis,” ujarnya
Menurut PHM, dehidrasi melampau turut menjadi ancaman serius. Gejala termasuk pening ketika berdiri, lidah kering merekah, kekeliruan serta air kencing yang sangat sedikit atau berwarna gelap.
Kehilangan air yang kritikal boleh memekatkan darah dan meningkatkan risiko pembekuan darah serta kegagalan buah pinggang akut.
“Selain itu, Hiperglisemia atau gula darah terlalu tinggi juga merupakan kecemasan perubatan. Tanda termasuk haus melampau, kerap kencing, nafas berbau buah dan keletihan teruk.
“Bacaan melebihi 16.6 mmol/L boleh menyebabkan darah menjadi berasid atau diabetic ketoacidosis (DKA) yang berpotensi membawa maut,” ujarnya.
Keadaan keempat ialah penyakit akut secara tiba-tiba seperti muntah berterusan, cirit-birit teruk atau demam panas menggigil.
Situasi ini menyebabkan kehilangan elektrolit dengan cepat dan meneruskan puasa boleh menyebabkan kegagalan fungsi badan.
Dalam Islam, mereka yang sakit diberikan rukhsah atau kelonggaran untuk berbuka dan menggantikan puasa pada hari lain.
“Jangan kita zalimi tubuh badan sendiri,” katanya.- KOSMO! ONLINE

16 hours ago
7



![[VIDEO] Dugaan Ramadan, penduduk di Kluang diuji banjir kilat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/d9ed92fa-439a-42f6-becb-324818b7d3a6.jpeg)













































