Pembenihan awan berjaya tingkatkan paras air dua empangan di Perak

9 hours ago 5

IPOH – Paras air di Empangan Bukit Merah dan Empangan Temenggor yang sebelum ini menyusut akibat cuaca panas, kini menunjukkan peningkatan susulan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan pada Jumaat lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hujan mula turun sejak hari pelaksanaan operasi berkenaan dan berlarutan hampir setiap petang, sekali gus membantu menambah bekalan air di kawasan tadahan utama negeri.

Katanya, pelaksanaan operasi itu bagi memastikan pengurusan sumber air mencukupi untuk pengairan sawah padi di kawasan utara negeri selain kebolehlaksanaan penjanaan tenaga elektrik.

“Memang permintaan kerajaan negeri untuk melakukan pembenihan awan di Bukit Merah dan juga di Belum iaitu di Tasik Temenggor. Oleh kerana awan ada, maka pembenihan itu berjaya dan berlaku hujan lebat.

“Pembenihan awan itu adalah untuk menampung ketidakcukupan air di Tasik Temenggor, Tasik Banding dan Tasik Chenderoh. Jika kita tidak melakukan pembenihan awan dan hujan tidak turun, ia akan mengganggu dan menjejaskan kebolehlaksanaan penjanaan tenaga elektrik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Walkabout ke Bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut Saarani berkata, hujan lebat yang berlaku itu bagaimanapun menyebabkan banjir kilat di beberapa lokasi, namun ia bukan berpunca daripada limpahan Sungai Perak yang ketika ini berada pada paras rendah.

Katanya, banjir kilat di beberapa tempat berlaku disebabkan hujan lebat dan sistem perparitan yang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

“Kita tidak dapat untuk mengawal (hujan lebat) kerana permintaan orang ramai supaya dapat buat pembenihan awan

“Jika hujan tidak turun, ia akan menjejaskan kebolehlaksanaan penjanaan tenaga elektrik. Apabila paras air rendah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dapat melepaskan air dan keadaan itu menyebabkan Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga Teluk Intan menjadi kering.

“Situasi itu turut menjejaskan operasi muka sauk kendalian Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Pada 13 Februari lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan OPA di zon utara bagi menangani kesan cuaca panas serta penyusutan paras air di beberapa empangan utama.

Operasi berkenaan menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |