PETALING JAYA – Seorang pemuda ‘kantoi’ selepas tindakannya menyorok tiga bungkus kopi segera berharga kira-kira RM20 di dalam beg sebelum keluar dari sebuah pasar raya, disedari pekerja semasa dia membuat bayaran di kaunter.
Menerusi video tular di media sosial, pemuda tersebut datang ke kaunter untuk membayar satu kotak santan bersaiz kecil dan kemudian dia ditegur pekerja pasar raya itu yang mahu memeriksa begnya.
Dalam perbualan menggunakan dialek utara pada video berkenaan, pekerja pasar raya mendakwa terlihat pemuda itu mengambil bungkusan kopi segera dan memasukkannya ke dalam beg.
“Tadi nampak, nak check (periksa) beg boleh tak? Mana boleh gitu, kenapa ambil? Kami dok kira setiap tahun, selalu hilang bukan satu atau dua. Ambil sampai tiga.
“Tak seronoklah, tiap tahun kena tolak duit gaji. Ni dapat tangkaplah. Muka abang dengan ayah abang bukan tak biasa tengok, selalu je nampak,” kata pekerja pasar raya berkenaan selepas pemuda itu mengeluarkan bungkusan kopi segera tersebut.
Bagaimanapun, reaksi pemuda itu kelihatan selamba seolah-olah tidak bersalah dengan perbuatannya, malah dia tidak kisah sekiranya pekerja pasar raya melaporkannya kepada polis.
Pekerja berkenaan turun memaklumkan kejadian itu kepada bapa pemuda tersebut yang menunggu di luar dan warga emas itu memberitahu, dia ke pasar raya tersebut hanya untuk membeli santan.
Dia kemudian ke kaunter serta menjelaskan bayaran tiga bungkus kopi segera yang diambil anaknya.
Video itu mendapat pelbagai maklum balas, malah ada yang berkongsi rupa-rupanya banyak pasar raya meletakkan jenama kopi segera itu di rak kaca memandangkan ia sering menjadi sasaran individu panjang tangan.
“Kenapa ramai orang curi? Sampai ada pasar raya letak dalam almari kaca,” komen seorang pengguna Thread.
“Patutlah ada yang letak dalam almari kaca, dekat kaunter. Rupa-rupanya banyak orang suka curi,” kata seorang lagi individu.
“Kita tak tahu apa yang dia hadap. Tapi bang, kopi tu bukan keperluan asas manusia. Tak berbaloi bang kau curi, lepas tu kat akhirat nak kena junjung benda tu berat-berat,” kata seorang lagi pengguna Thread. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
5
















































