Tiada rakyat Malaysia terjejas serangan di Kuwait

14 hours ago 11

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas susulan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait semalam.

Wisma Putra berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait sedang memantau rapat situasi susulan serangan terbabit.

“Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua warga Malaysia yang berdaftar di negara tersebut berada dalam keadaan selamat dan tiada laporan mengenai warganegara yang terjejas akibat insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Susulan serangan tersebut, lapangan terbang berkenaan telah ditutup buat sementara waktu dan semua penerbangan komersial telah digantung sehingga diberitahu kelak.

“Penerbangan yang tiba kini sedang dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi.

“Warga Malaysia yang perancangan perjalanan mereka terjejas akibat gangguan ini dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing secara terus bagi mendapatkan pengaturan alternatif dan penjadualan semula penerbangan.

“Mereka yang menetap atau melakukan perjalanan di rantau ini digesa untuk mengekalkan tahap kewaspadaan yang paling tinggi.

“Rakyat Malaysia perlu mematuhi sepenuhnya sebarang arahan keselamatan, sekatan pergerakan atau arahan kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Selain itu, warga Malaysia yang belum mendaftar keberadaan mereka juga diseru untuk berbuat demikian dengan segera menerusi portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri.

Pendaftaran itu boleh dibuat menerusi pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan yang pantas.

Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait secara terus menerusi talian +965 2255 0394 / +965 2255 0395 atau [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |