Tiada penghantaran Rohingya buat masa ini – KPN

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Proses penghantaran etnik Rohingya ke negara ketiga tidak dapat diteruskan ketika ini susulan beberapa kekangan yang menyebabkan proses tersebut terhenti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, bagaimanapun perbincangan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa bagi mengatasi perkara berkenaan.

“Pada masa-masa yang lalu, dalam tempoh setahun itu kita menghantar lebih kurang 7,000 ke 8,000 orang ke negara-negara ketiga.

“Tapi sekarang dengan keadaan begini, banyak dah terhenti,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di sini hari ini.

Mohd. Khalid berkata, pelarian Rohingya merupakan isu antarabangsa yang melibatkan kedatangan mereka dari Myanmar atas pelbagai faktor termasuk keadaan di negara asal.

Katanya, pada masa lalu terdapat kerjasama dengan beberapa negara yang menerima golongan berkenaan selepas mereka berada sementara di Malaysia sebelum dihantar ke negara ketiga untuk tujuan pekerjaan dan penempatan semula.

Dalam pada itu, beliau berkata, etnik Rohingya yang berada di negara ini tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan tindakan akan diambil sekiranya mereka melakukan sebarang kesalahan.

“Jadi setiap orang yang datang ke negara ini mestilah mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan di negara ini.

“Jika mereka melakukan kesalahan, kita ambil tindakan seperti mana juga lain-lain orang yang datang ke negara kita,” tegasnya.

Justeru, katanya, isu Rohingya memerlukan tempoh yang panjang untuk diselesaikan memandangkan ia melibatkan pelbagai pihak termasuk hubungan antara kerajaan.

Katanya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini telah menjelaskan kedudukan sebenar hubungan antara kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

“Saya percaya perkara ini akan mengambil masa untuk diselesaikan tetapi pada ketika ini, rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin perlu memikirkan tentang keselamatan mereka dan pada masa yang sama juga keselamatan negara ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia hanya mampu menghantar 8,312 pelarian Rohingya ke negara ketiga membabitkan 10 negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan Jepun dari tahun 2003 hingga 2021.

Untuk rekod, negara terbesar menerima pelarian ini ialah Amerika Syarikat iaitu lebih 7,000 orang dan terkecil ialah negara Finland, hanya seorang sepanjang 18 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |