Tiada had pembelian RON95 sekali sehari

3 hours ago 4

PUTRAJAYA- Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk mengehadkan pembelian petrol RON95 kepada sekali sehari.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, walaupun kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, Budi Madani RON95 (Budi95) dilaksanakan dengan hasrat memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi.

“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MoF berkata, peralihan kepada Budi95 khusus untuk rakyat Malaysia direka dan diteliti agar proses ini tidak menyulitkan rakyat, malah memberi manfaat kepada penerima.

Katanya, bagi melindungi kesejahteraan rakyat, kerajaan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter.

“Dengan pemansuhan subsidi pukal, kerajaan mengunjurkan Budi95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.

“Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.

Pada masa sama, kata MoF, semua warganegara berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.

Katanya, siling kelayakan bulanan ini ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.

“Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta proton saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan.

“Siling kelayakan bulanan yang tinggi ini juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |