KUALA LUMPUR – Menyifatkan Threads sebagai medium berinteraksi dan promosi yang bagus, penyanyi Aisha Retno menggunakan platform itu dengan aktif sekali gus menampilkan sisi dirinya yang sebenar.
Menurut Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, dia yang baru membuka akaun Threads sejak tampil bersama lagu Jodoh Lebaran mengakui digelar netizen sebagai ‘Ratu Kacip’ disebabkan sikapnya yang gila-gila.
“Sebenarnya saya pun baru sahaja buka akaun Threads ketika mempromosikan lagu Jodoh Lebaran beberapa bulan lalu yang awalnya saya guna tanpa bimbingan sesiapa.
“Masa mula-mula guna, kandungan yang muncul semuanya lawak. Jadi saya pun cuba ikut serta dan jadi kelakar juga sampai digelar ‘Ratu Kacip’. Saya tak kisah pun.
“Sebab itu saya rasa Threads adalah platform yang sangat menyeronokkan jika dimanfaatkan dengan betul,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu, Diari Air Mata di Kenangan Coffee TRX, semalam.
Menurutnya, platform tersebut juga secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungannya dengan peminat yang mungkin belum mengenali personaliti sebenar dirinya.
“Mungkin ada yang tak tahu, saya sebenarnya suka melawak dan agak ‘ting tong’ sedikit. Jadi apabila di platform itu saya cuma jadi diri sendiri.
“Kadangkala selepas penat bekerja kita mahu ruang untuk berkomunikasi dengan bebas bersama mereka yang selama ini banyak memberikan sokongan ,” ujarnya.
Aisha juga maklum pernah mendengar pelbagai persepsi negatif mengenai Threads namun pengalaman peribadi yang jauh berbeza membuatkannya hanya fokus terhadap hal positif.
“Memang ada yang kata Threads toksik tetapi sepanjang saya mengikutinya, lebih banyak jumpa bahan kelakar dan membina.
“Ada juga satu dua komen kurang menyenangkan, cuma itu perkara biasa sebab sesiapa pun bebas memberikan pendapat masing-masing.
“Akaun ini pun saya kendali sendiri. Ada yang tanya, ‘Aisha kenapa kacip sangat?’ Bagi saya, digelar sedemikian pun menunjukkan kedekatan kami, saya okey dengan gelaran itu,” katanya.
Mengenai lagu Diari Air Mata, Aisha teruja dapat bekerja dengan insan dihormatinya, komposer Ajai yang memberi ruang untuknya memberikan pandangan.
“Sebaik berjumpa Ajai yang juga penggubah Diari Air Mata, kami duduk dan beliau minta saya bercerita mengenai episod cinta saya yang kecundang.
“Pengalaman saya itu diharap dalam lagu ini. Memang gubahannya sarat emosi hingga saya menangis di dalam studio.
“Saya juga terharu apabila Usanita Entertainment memilih saya untuk bawakan dendangan yang indah ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2













































