PETALING JAYA – Tindakan pempengaruh sensasi, Marissa Dania yang menzahirkan perasaan dalam sebuah video TikTok seolah-olah memberi bayangan dirinya lebih selesa menyimpan kemas isu peribadi tanpa perlu diuar-uarkan umum akhirnya memakan diri.
Dengan kapsyen berbunyi ‘Sabar tanpa cerita,’ Marissa atau Marissa Dania Hakim, 20, memuat naik kenyataan sedemikian sambil memegang sejambak bunga.
Tanpa menjelaskan sebarang motif atau keterangan lanjut, perkongsian tersebut ternyata mencetuskan rasa kurang senang rata-rata pengikut, sekali gus mempersoalkan kehidupannya yang tampak tenang tanpa rasa bersalah biarpun menyakiti hati wanita lain.
“Aku lagi tertanya-tanya macam mana dia boleh tenang tak rasa bersalah langsung terutama dekat isteri pertama,” kata netizen.
“Bahagia dan derita atas pilihan kita sendiri. Kalau rasa nak hancur dengan pilihan sendiri teruskan, tiada siapa paksa,” tutur pengikut lain.
“Terpaling tersakiti, macam manalah dia boleh terima berkongsi kasih sayang,” ujar seorang lagi netizen.
Sebelum ini, anak kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim itu sekali lagi mengundang perhatian ramai selepas menasihatkan netizen agar tidak mudah tertipu dengan lakonan kemesraan yang dikatakan ditunjukkan suaminya, Aslam dan madunya, Umisya.
Komen tersebut ditinggalkan Marissa bagi membalas komen netizen dalam salah satu konten TikToknya yang mengatakan Aslam tidak boleh berdiam diri apabila disekat oleh Umisya.
“Awak jangan tunjuk sangat senang digula-gulakan,” tulis Marissa namun komen tersebut sudah dipadamnya tidak lama kemudian.
Namun selepas itu, dia menafikan dakwaan sebilangan pihak kononnya dia mengata tentang kebahagiaan olok-olok madunya dengan suami.
Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai pada Januari tahun lalu selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya. – KOSMO! ONLINE