PETALING JAYA – Seorang wanita merayu bantuan tempat berteduh sementara kerana mahu melarikan diri daripada suaminya yang didakwa tidak bertanggungjawab.
Dalam perkongsian yang tular di Facebook, wanita tersebut meluahkan rasa kecewa terhadap suaminya yang didakwa langsung tidak berusaha mencari nafkah sejak dia mengandung sehingga anak mereka kini berusia dua tahun.
“Tolong saya…bagi saya tempat berteduh sementara. Saya nak bawa anak saya pergi dari suami. Saya betul-betul dah tak tahan.
“Dari mengandung sampai anak dah dua tahun masih sama. Tak usaha cari nafkah langsung, asyik tidur, makan, tidur, makan. Saya dah penat tanggung,” luahnya.
Lebih menyedihkan, wanita itu turut memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai kawan untuk diminta bantuan, manakala keluarganya pula digambarkan sebagai ‘terlalu toksik’ hingga menyebabkan tekanan emosi, terutama ketika berpantang dahulu.
“Saya ada keluarga, cuma keluarga saya terlalu toksik. Saya dah serik masa berpantang di rumah keluarga dahulu, mental saya dibuatnya,” katanya.
Dia turut menyatakan bahawa walaupun tidak memiliki kenderaan, dia mempunyai sedikit wang untuk tambang pergi dan balik serta simpanan kecil bagi menampung keperluan makan minum sementara mencari pekerjaan.
Sementara itu, ramai yang bersimpati dengan nasib wanita tersebut dan ada sudi menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada dua beranak terbabit.
“Saya di Perlis, kalau puan boleh datang sini, saya boleh tumpangkan di homestay (inap desa) kami. Duduk la sehingga puan bersedia untuk berpindah,” kata Nur Izzati.
“Puan buat laporan polis dulu, kemudian puan boleh dm (mesej) saya. Insya-Allag mana yang mampu saya bantu,” tulis Aliyaaa.
Ada juga yang mencadangkan wanita itu untuk mendapatkan bantuan perlindungan menerusi Talian Kasih 15999. – KOSMO! ONLINE