SERDANG – Sikap segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak menjaga kebersihan dan membuang sampah sesuka hati terus mengundang rasa kurang senang penduduk tempatan di kawasan Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan.
Antara perbuatan yang dikesali termasuklah membuang barang tajam seperti pisau ke dalam saluran paip, meludah kulit sirih merata-rata, membuang tilam lama sesuka hati serta membiarkan anak-anak kecil membuang air di kawasan tangga.
Lebih menjijikkan, sistem saliran utama kediaman juga dikatakan tersumbat berulang kali gara-gara sisa-sisa kotor dibuang terus ke dalam saluran air hingga menyebabkan rumah penduduk lain dinaiki air setiap kali mereka mandi.
Seorang penduduk, Wan Mohd Shaari, 32, berkata, sejak menetap di kawasan itu hampir tiga tahun lalu, isu utama yang sering berlaku ialah pembuangan sampah sesuka hati dan sistem saliran tersumbat akibat perbuatan PATI berkenaan.
“Saya dah tegur mereka, malah saya sendiri baiki paip utama, tapi perangai mereka tetap sama,” kata ketika ditemui Kosmo! semalam.
Jelasnya, dia pernah pergi dari rumah ke rumah menasihatkan penyewa warga asing namun usaha tersebut hanya sia-sia kerana masalah terus berulang.
“Penyewa sebelum saya juga warga asing. Masa mula-mula masuk rumah itu, keadaannya terlalu kotor hingga tak boleh duduk langsung,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Zulkhairi Ibrisam, 33, berkata, selain kotor, gelagat kelompok PATI itu juga menjengkelkan kerana sering menimbulkan kekecohan.
“Mereka gaduh tengah malam, anak-anak kencing dekat tangga dan pernah ludah sirih sampai kena motosikal saya,” katanya.
Namun, Muhammad Zulkhairi mengakui dia kini sudah ‘lali’ dengan gangguan sejak tiga tahun lalu menetap di kawasan berkenaan.
Menurut seorang lagi penduduk, Mohamad Azuan Mohd. Juman, 37, tindakan membuang tilam buruk dan barang besar merata-rata turut menyumbang kepada imej kotor kawasan berkenaan.
“Mereka juga suka buat bising pada waktu malam, anak-anak bermain sampai lewat pagi dan kadang bergaduh sebab mabuk. Saya tinggal sini tujuh tahun dan perkara ni memang berlarutan,” jelasnya.
Beliau berharap operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa kali ini bukan yang terakhir, sebaliknya diteruskan secara berkala bagi mengembalikan ketenteraman di kawasan kediaman itu.
“Kali ini operasi besar dan kami harap ia tak terhenti macam sebelum ini. Dulu serbu, seminggu dua lepas tu mereka datang balik,” katanya.
Penduduk juga berharap pihak berkuasa dapat memantau pemilik unit yang didakwa menyewakan rumah tanpa mempedulikan kesan kepada jiran dan masyarakat sekitar.
Pada operasi bersepadu Jabatan Imigresen semalam, seramai 741 warga asing diperiksa, manakala 496 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. – KOSMO! ONLINE