PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menzahirkan rasa simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sempena ulang tahun ke-16 tragedi kematian beliau yang berlaku di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kejadian itu merupakan satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara.
“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut.
“SPRM juga mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf keputusan daripada pelbagai siasatan yang telah dijalankan berhubung kes kematian Beng Hock sepanjang 16 tahun lalu.
“Ini termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Azam berkata, sejak kejadian tersebut, SPRM komited untuk memperbaiki kelemahan lalu dan berusaha membina semula kepercayaan rakyat.
Katanya, SPRM telah mengambil pelbagai langkah penambahbaikan untuk memastikan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan sentiasa terpelihara.
“Antara langkah penambahbaikan yang telah dilaksanakan ialah mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (Video Interviewing Room -VIR) untuk merekod pernyataan saksi, orang kena tangkap dan suspek.
“Selain itu, SPRM turut mewujudkan Bilik Temu Bual Saksi di aras bawah (groundfloor) bagi memastikan akses lebih mudah dan pemantauan yang lebih telus,” katanya.
Azam berkata, sistem televisyen litar tertutup (CCTV) turut dipertingkatkan dengan ciri berteknologi tinggi, kuantiti ditambah dan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawas dan merekod pergerakan serta perlakuan setiap orang yang memasuki premis.
“Kompleks Bangunan SPRM juga dilengkapi pemasangan jeriji besi selaras dengan garis panduan Pihak Berkuasa selain pemasangan Body Worn Camera (BWC) dalam setiap operasi siasatan bagi merakam aktiviti operasi dan memastikan integriti terjaga,” katanya.
SPRM turut menggunakan teknik soal siasat model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang dipraktik di United Kingdom.
“Teknik itu menekan aspek keberhasilan dan keselamatan telah diperkenal dan diadaptasi sebagai MACC PEACE,” katanya.
Menurut Azam, SPRM juga mengambil maklum bahawa pada 12 Mei 2015 kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang serta tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad di bawah Seksyen 7 & 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
“Namun demikian, sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.
“SPRM kekal komited untuk menegakkan integriti dan ketelusan dalam setiap aspek tugasan serta memperkukuh usaha penambahbaikan institusi secara berterusan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE