‘Saya buat tiga laporan polis, antara sebab barang kemas dicuri’

11 hours ago 4

PETALING JAYA – Baru meraikan hari jadi ke-33 dengan kek emas bernilai RM200,000, usahawan dan personaliti media sosial Prince Syed tampil membuat laporan polis atas insiden kecurian yang dialaminya.

Bahkan Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad Shah Hasif juga mengakui bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu susulan dakwaan hasutan terhadap perniagaannya serta gangguan privasi.

“Laporan polis terus dibuat. Hari ini kita buat tiga dulu laporan (polis) kerana kes kecurian barang kemas saya, kemudian privasi saya diganggu, kes hasutan terhadap perniagaan saya dan isteri.

“Banyak sebab, dah lewat malam, esok kena buat mekap untuk pelanggan. Selepas itu kita sambung buat report untuk tujuan saman.

“Selepas ini akan ke IPD Klang Utara pula, ada beberapa report nak buat di sana. Syukur kesemua proses berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Begitupun, jutawan sensasi itu memaklumkan tidak dapat memperincikan butiran insiden dilalui berikutan beberapa faktor.

“Sekarang ini apa-apa kita cerita kat balai polis dan mahkamah sahaja. Senang, biar pihak berkuasa yang ambil tindakan.

“Saya sudah tak boleh berfikir secara positif sebab ini melibatkan keselamatan saya dan macam-macam lagi. Sangat mengganggu saya,” ujarnya.

Prince Syed juga menegaskan sudah mengumpulkan semua bukti termasuk tangkap layar kenyataan yang disifatkan berunsur fitnah.

“Nama-nama itu nanti, bersedia sahaja. Kita beri hadiah sempena hari jadi saya, manis-manis. Istimewa untuk ramai individu. Semua yang cakap bukan-bukan, ganggu privasi kami dan keselamatan kami sudah dikenalpasti.

“Inilah nasib orang bernama Syed. yang dipinjamkan jasad oleh Allah, perlu bawa jasad ini sebaik mungkin. Jasad ini Allah beri yang ada kelebihan, tak sama macam orang lain,” katanya.

Pada video sama, lelaki terbabit juga menegaskan tidak berkompromi dengan situasi membabitkan maruah serta keselamatan diri, selain menyerahkan segala-gala isu melalui proses undang-undang.

Terdahulu, nama Prince Syed yang juga peniaga makanan, pereka fesyen serta jurusolek itu menjadi bualan di media sosial apabila gemar memanjakan isteri dengan menata rias dan menghasilkan pelbagai persalinan unik buat surinya.

Pempengaruh itu juga kerap berkongsi momen membeli hadiah kepada insan kesayangan terutama aksesori mewah dan terbaru ketika sambutan ulang tahunnya, teman hidupnya itu menggayakan barang kemas bernilai RM2 juta. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |