Terlalu banyak BNPL, peluang lulus pinjaman semakin tipis

3 hours ago 4

PETALING JAYA – Penggunaan kemudahan Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) secara berlebihan didakwa boleh menjejaskan peluang seseorang untuk mendapatkan pinjaman bank meskipun pembayaran dibuat mengikut jadual.

Menurut seorang ejen hartanah dikenali sebagai Eyra Fahera di Threads, dia berkata pernah mengendalikan kes permohonan pinjaman ditolak akibat pelanggan mempunyai terlalu banyak komitmen BNPL.

Menurutnya, ramai pengguna beranggapan rekod BNPL tidak memberi kesan kepada permohonan pinjaman kerana ia tidak dipaparkan dalam laporan CTOS.

“Pinjaman kena tolak sebab BNPL bersepah. Ya, kes sebenar. Pada mulanya nampak layak sebab BNPL ni tak refleks pun dalam laporan CTOS dan pelanggan pun tak maklumkan.

“BNPL yang banyak memang beri kesan kepada permohonan pinjaman walaupun bayaran bulanan dibuat dengan baik,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa institusi kewangan melihat jumlah komitmen BNPL sebagai petunjuk keadaan kewangan seseorang, selain mengambil kira hutang lain yang direkodkan dalam sistem CCRIS.

“Senang cerita, dekat mata bank nampak macam terdesak nak pakai duit. Tu belum lagi campur hutang lain dalam CCRIS. ‘Burst’ teruk dah,” katanya.

Hantaran tersebut turut disertakan gambar yang didakwa menunjukkan sejumlah komitmen BNPL dengan baki tertunggak melebihi RM5,000.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dengan sebahagian netizen berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan penggunaan BNPL.

Seorang pengguna mendakwa individu yang mempunyai terlalu banyak kemudahan BNPL kadangkala menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan baharu.

“Kadang-kadang bila jumlah BNPL tinggi, bayaran bulanan boleh jadi berat. Kalau nak buat penyatuan hutang pun kena selesaikan sebahagian baki dulu,” katanya.

Sementara itu, beberapa netizen turut bertanyakan sama ada rekod BNPL boleh dilihat dalam laporan CTOS.

Menjawab persoalan itu, Eyra mendakwa rekod berkenaan tidak semestinya dipaparkan dalam CTOS, namun boleh muncul dalam laporan kredit lain seperti Experian.

“Dalam CTOS memang tak ada, tapi dalam Experian ada. Kalau dah selesai bayar dan rekod cantik, tak ada masalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |