KAJANG – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.40 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.20 petang melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang.
“Mangsa kemudian dihanyutkan arus ke kawasan tadahan air sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 5.55 petang kira-kira 150 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat,” ujarnya.
Naazron berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Farahin Mohd. Yatim di talian 017-398 7188 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang mudah dinaiki air, longkang atau parit terutama pada musim hujan.
“Sebarang kecemasan boleh dilaporkan menerusi talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243,” katanya.
Semalam tular di media sosial beberapa gambar serta video orang ramai yang berkumpul di kawasan tersebut setelah kejadian lemas melibatkan remaja 16 tahun itu berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 4.23 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih yang berada di bawah kawasan jagaan BBP Bangi bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan dan tiba pada pukul 4.48 petang.
“Mangsa berjaya dijumpai pada jarak dua kilometer dari tempat jatuh di kawasan tadahan air. Bomba kini sedang menunggu pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
7





![[VIDEO] ‘Tujuh hari terasa panjang, banyak ruang kosong’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/nancy.jpeg)









































![[VIDEO] ‘Pinjam duit mak ayah, jangan buat senyap’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-26-at-09.59.45.jpeg)

