GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan kadar baharu air di negeri ini bermula 1 Julai depan, dengan kenaikan tarif air 8.5 peratus bagi pengguna domestik dan 7.3 peratus bagi pengguna bukan domestik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, sebenarnya kadar air baharu itu telah diwartakan Kerajaan Persekutuan pada 30 Julai tahun lalu.
Namun katanya, kerajaan negeri mengarahkan pelaksanaannya ditangguhkan selama 12 bulan sehingga 1 Julai 2026.
“Bagi pengguna domestik, kira-kira 82 peratus isi rumah di Pulau Pinang menggunakan 35 meter padu (m³) air atau kurang setiap bulan dan golongan itu hanya akan mengalami peningkatan maksimum bil sebanyak RM2.55 sebulan atau kira-kira 8.5 sen sehari.
“Pengguna domestik yang menggunakan 35m³ air sebulan akan membayar RM32.50 berbanding RM29.95 sebelum ini, manakala peningkatan adalah lebih rendah bagi pengguna yang menggunakan kurang daripada jumlah tersebut,” katanya pada pada sidang akhbar di bilik mesyuarat PBAPP di sini, hari ini.
Sebelum ini, kadar tarif air bukan domestik di Pulau Pinang dinaikkan pada 1 Januari 2023, manakala tarif air domestik dinaikkan bermula 1 Februari 2024.
Menurut Zairil, bagi pengguna bukan domestik pula yang melibatkan sektor perkilangan, hotel, pusat beli-belah, premis perniagaan dan pejabat kerajaan, peningkatan maksimum bil bagi penggunaan sehingga 500m³ sebulan ialah RM77.70 atau RM2.59 sehari.
Menurut beliau, pengguna bukan domestik yang menggunakan 500m³ air sebulan akan membayar RM1,141.70 berbanding RM1,064 sebelum ini, dengan kadar purata baharu bagi 500m³ pertama ditetapkan pada RM2.28 bagi setiap meter padu.
Tambah Zairil, pelaksanaan kadar baharu itu dijangka menjana kira-kira RM20 juta hasil tambahan dalam tempoh enam bulan terakhir tahun ini, dengan sebahagian besar keuntungan akan dilaburkan semula bagi pembangunan infrastruktur bekalan air demi manfaat rakyat dan pembangunan Pulau Pinang. -KOSMO! ONLINE

10 hours ago
9






![[VIDEO] ‘Allah dah makbulkan doa ayah nak disemadikan di Mekah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/HAJI-TANAH-SUCI.jpeg)





































