Tanah adat dirampas, Orang Asli dakwa terus terpinggir

11 hours ago 7

PUTRAJAYA- Tidak hanya kehilangan tanah adat yang diwarisi sejak nenek moyang, masyarakat Orang Asli mendakwa hak mereka sebagai penduduk asal semakin dipinggirkan oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankusa Badan Bertindak Tanah Adat Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, selain tanah adat, Orang Asli juga telah kehilangan sungai dan hutan akibat pencerobohan dan pembalakan.

Beliau berkata, isu pencerobohan dan pembalakan serta pemilikan tanah adat oleh pemaju dan kerajaan negeri menyebabkan komuniti itu mulai kecewa dengan kerajaan.

“Saya menggesa kerajaan supaya mengadakan rundingan yang lebih telus dan terbuka bagi membincangkan isu hak tanah adat yang didakwa berlarutan sejak sekian lama.

“Kami juga mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan segera untuk mengiktiraf tanah adat Orang Asli menerusi penambahbaikan dan pelaksanaan yang lebih berkesan di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

“Siri rampasan tanah adat di beberapa negeri sejak akhir-akhir ini dilihat menjejaskan kehidupan harian Orang Asli selain menyebabkan kehilangan sumber semula jadi yang menjadi asas kelangsungan komuniti itu sejak turun-temurun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada himpunan aman masyarakat Orang Asli di hadapan bangunan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) di sini pagi ini.

Terdahulu, lebih 1,500 Orang Asli mewakili 19 suku kaum di Semenanjung Malaysia berhimpun secara aman di hadapan bangunan KKDW bagi menuntut pembabitan segera kerajaan membabitkan isu tanah adat Orang Asli.

Himpunan itu bermula seawal 9 pagi di ruang tempat letak kereta berdekatan bangunan KKDW sebelum mereka dilihat berarak sejauh 100 meter menuju ke bangunan KKDW.

Laungan ‘Tuntut Tanah Adat’ mengiringi perarakan itu beserta kibaran poster memaparkan desakan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap pemaju, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Situasi himpunan bagaimanapun terkawal serta tiada insiden buruk dilaporkan dan demonstrasi aman itu kemudian berakhir sekitar 12.30 tengah hari. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |