‘Tak rancang keluar lagu genap setahun bercerai’

5 hours ago 5

SEPERTI meraikan tetapi hakikatnya tidak terlintas dalam benak fikiran. Itu yang ditegaskan Bella Astillah dengan peluncuran single solo keduanya berjudul Lebih Indah Berpisah baru-baru ini.

“Hanya kebetulan,” itu yang dijawab Bella tatkala ditanya sama ada sengaja memilih 13 Jun tarikh sama dia sah bercerai dengan bekas suami, Aliff Aziz.

Menurut Bella, 31, lagu ciptaan komposer ternama Indonesia, Ade Govinda itu tiada kena-mengena dengan segala momen pahit yang berlaku dalam hidupnya sebelum ini.

Dia bahkan menegaskan Lebih Indah Berpisah dilihat sebagai karya yang membantu dirinya untuk terus mengejar bahagia pada hari mendatang.

“Kami tidak rancang pun nak keluarkan lagu sebab genap setahun bercerai atau sebagainya.

Menurut Bella, lagu Masing-Masing nyanyian asal Ernie Zakri membuka jalan buatnya menjalin kolaborasi dengan komposer sensasi Indonesia, Ade Govinda.

“Lagu ini sangat istimewa apatah lagi dapat menyanyikan sebuah karya ciptaan Ade. Lirik, melodi dan semua dalam lagu ini sangat hebat.

“Ade kata ini hadiah untuk saya, dia minta nyanyi dengan sepenuh hati, semoga diterima ramai terutama pencinta lagu galau,” katanya kepada HibGlam.

Pemilik nama penuh Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu juga menolak dakwaan 100 peratus kisah hidupnya diangkat dalam karya tersebut sebaliknya hanya dijadikan inspirasi.

“Saya tidak boleh kata lagu ini adalah 100 peratus mengenai kisah sendiri.

“Lagu ini lebih menjurus kepada persediaan seseorang memulakan kehidupan baharu. Tidak semua perpisahan itu adalah untuk menjatuhkan diri sendiri.

“Kalau boleh, kita tak mahu berada dalam hubungan yang kita sendiri tidak mampu genggam lagi,” ujarnya.

Bercerita lanjut, tajuk asal lagu tersebut juga diubah kerana mahu mencerminkan mesej lebih positif kepada pendengar.

“Pada asalnya tajuk lagu ini ialah Lebih Baik Berpisah tetapi ditukar kepada Lebih Indah Berpisah.

Kata Bella, dia tiada niat untuk mengimbau kisah hidup lama, namun hanya berkongsi rasa.  – SADDAM YUSOF

“Lagu ini bukan untuk ungkit atau imbau kisah lama tetapi mengajak seseorang bersedia dengan kehidupan baharu. 

“Jadi, tidak semua perpisahan akan menjatuhkan diri sendiri tetapi lebih kepada membawa mesej positif.

“Kadang-kadang perpisahan itu lebih menyakitkan tetapi mungkin ada keindahan yang menanti,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman merakamkan lagu tersebut di Jakarta, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui terpaksa mengambil masa untuk menenangkan emosi yang bergolak.

Baginya, lirik yang dihasilkan Ade sangat luar biasa kerana mampu menusuk jiwa terhadap mana-mana individu yang mendengar.

“Sebelum merakamkan lagu ini, Ade tengok saya dan cakap sudah boleh mula menyanyi tetapi saya diam. 

“Kemudian saya menyanyi dan menangis tetapi selepas emosi semua sudah okey, barulah kami betul-betul rakam. 

“Sudah tentulah kita sebagai manusia, kadang-kadang ada perasaan sedih dan gembira. Liriknya pula sangat mendalam, memang mudah terasa,” tuturnya.

‘Bella profesional’

Sementara itu, Ade yang juga anggota band Govinda berkata, Bella yang kerap menyanyikan lagu Masing-Masing ciptaannya untuk Ernie Zakri membuka jalan untuk penghasilan Lebih Indah Berpisah.

“Sebenarnya kerjasama ini tidak dirancang, namun Tuhan sudah menunjukkan jalannya.

Ade menyifatkan kerjasama dengan Bella sangat mudah.  Bukan itu sahaja, komposer asal Indonesia itu sangat mengagumi wanita tersebut.

“Jika Bella tidak menyanyikan lagu Masing-Masing, mungkin kerjasama ini tidak akan jadi kenyataan dan dia juga antara yang membuatkan lagu itu tular.

“Bekerja dengan Bella sangat mudah dan dia profesional. Jadi, proses mendalami setiap bait lirik itu mudah,” katanya lagi.

Tambah Ade, jalan cerita lagu tersebut juga diinspirasi daripada kisah Bella tetapi tidak secara keseluruhan.

“Lagu ini bukan sekadar melodi, sebaliknya, luahan jiwa atas keberanian melepaskan dan memilih jalan baharu demi kebahagiaan diri.

“Saya ada bincang dengan Bella dan dengar ceritanya. Memang saya ‘tuangkan’ semua cerita itu dalam lagu ini.

“Mungkin sekarang saya hasilkan lagu patah hati, saya juga menantu peluang lain untuk karya yang lebih membahagiakan buat Bella pada masa akan datang. Ini baru permulaan,” jelasnya lagi.

Ade juga turut mengagumi keperibadian Bella yang sentiasa tampak kuat dalam menghadapi kehidupannya.

“Bella wanita luar biasa, dia memiliki keikhlasan dan ketulusan yang mengagumkan, namun setiap orang pasti ada hadnya.

“Tidak banyak wanita yang mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen sepertinya,” jelasnya yang bakal menghasilkan lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak lama lagi. 

Read Entire Article
Pertanian | | | |