Tak puas hati disaman, lelaki provokasi terhadap anggota polis ditahan

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki tempatan melakukan provokasi terhadap anggota polis ketika operasi penguatkuasaan lalu lintas membawa padah apabila dia ditahan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.24 pagi semalam ketika anggota polis sedang menjalankan rondaan dan penguatkuasaan lalu lintas di sekitar daerah Sentul.

Menurutnya, anggota terbabit telah mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan jenis Proton Preve atas kesalahan lalu lintas sebelum didatangi pemilik kenderaan berusia 25 tahun.

“Suspek bertindak merakam video menggunakan telefon bimbit selain mengeluarkan kata-kata kesat dan melakukan provokasi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saman yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Basri berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya menahan suspek kira-kira pukul 2.36 pagi hari ini di sebuah premis perniagaan di Jalan Dato Senu, di sini.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Infinix bersama kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku merakam video anggota polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadapnya.

Katanya, video kejadian itu juga dipercayai telah tular di beberapa platform media sosial.

“Permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Jun bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Sebarang bentuk penghinaan, ugutan, gangguan atau tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |