‘Tak mahu beri komen, serah urusan kepada polis, peguam’

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pelakon Fattah Amin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan peguam berhubung isu namanya yang dikaitkan dengan satu insiden keganasan fizikal melibatkan seorang wanita warga Indonesia, baru-baru ini.

Fattah, atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, menegaskan bahawa dia enggan memberikan penjelasan lebih lanjut memandangkan kes tersebut kini sedang berada dalam proses siasatan dan tindakan undang-undang.

“Kami juga tidak mahu memberi komen lebih-lebih mengenai isu ini.

“Setakat yang saya tahu, kes itu masih lagi dalam urusan pihak polis dan peguam,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada acara Allstars Picklebash 2.0 di Pickle Social Club, hari ini.

Dalam pada itu, pelakon drama Playboy Itu Suami Aku tersebut mengakui terkejut apabila mendapat tahu isu berkenaan tular sehingga turut mengheret namanya bersama isteri yang juga merupakan penyanyi, Amira Othman.

“Sebenarnya kenyataan itu sudah diberikan dan dimuat naik dalam media sosial. Kami pun tidak sangka perkara ini boleh berlaku dan menjadi tular.

“Mungkin ada juga yang tidak jelas, tidak faham atau tidak tahu mengenai perkara sebenar. Itu sahaja yang mahu dijelaskan.

“Jadi, kami keluarkan satu kenyataan untuk membuat penjelasan bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan isu berkenaan,” katanya lagi.

Pada 13 Jun lalu, tular sebuah video memaparkan insiden keganasan fizikal membabitkan empat individu terhadap seorang wanita warga Indonesia dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.

Susulan penularan video itu, terdapat segelintir netizen membuat perkongsian berbaur fitnah yang mengaitkan Fattah dan Amira dengan individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors yang mewakili pasangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang kaitan anak guam mereka dengan insiden diperkatakan netizen.

Wakil firma guaman itu juga menegaskan, Fattah dan Amira bukan individu dalam klip video tersebut serta tidak terlibat dengan insiden keganasan yang berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |