Sultan Selangor ulang pesan utamakan perpaduan

8 hours ago 7

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi pesanan agar umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan serta tidak mengeruhkan keadaan dengan pertelingkahan terbuka.

Baginda bertitah, peristiwa Hijrah bukan sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, sebaliknya simbol perubahan ke arah lebih baik serta penyatuan ummah dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Sehubungan itu, Beta ingin mengulangi nasihat dan pesanan yang sering Beta tekankan agar umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan,” titah baginda menerusi perutusan sempena Maal Hijrah, hari ini.

Baginda turut mengimbas nasihat Almarhum ayahanda baginda yang menegaskan agar tidak ‘wash dirty linen in public’, sebaliknya sebarang perbezaan pandangan atau masalah perlu ditangani secara berhemah.

“Maksudnya, jika terdapat sebarang masalah, perbezaan pandangan atau perkara yang perlu diperbetulkan, perlu disuarakan dengan penuh hikmah dan adab.

“Apa jua isu yang timbul hendaklah diselesaikan melalui perbincangan secara tertutup, dengan semangat saling menghormati dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Janganlah perkara-perkara yang boleh diselesaikan secara baik dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan pertelingkahan terbuka yang akhirnya hanya mendedahkan kelemahan umat dan bangsa kepada pandangan umum,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, pertengkaran secara terbuka hanya menyebabkan ada pihak lain mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku.

“Jika keadaan itu dibiarkan, tiada siapa yang akan benar-benar menang,” jelas baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru umat Islam agar mengambil semangat hijrah untuk memperkukuhkan perpaduan, memperbanyakkan sikap toleransi, serta mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Baginda turut mendoakan agar tahun baharu 1448 Hijrah ini membawa keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat serta menjadi titik permulaan kepada pengukuhan dan keharmonian dalam kalangan umat Islam dan seluruh masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |