Sultan Nazrin berkenan rasmi Dataran Waterfront Bagan Datuk

8 hours ago 4

BAGAN DATUK – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini hari ini.

Keberangkatan baginda ke Majlis Perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk berkenaan diiringi oleh Raja
Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sembah ucapannya berkata, majlis tersebut sangat bermakna kepada beliau dan rakyat jelata kerana dapat menyaksikan satu lagi kemudahan infrastruktur telah terbina dan tersergam indah di Bagan Datuk.

Beliau berkata, kemudahan infrastruktur itu memberi manfaat kepada rakyat jelata di negeri ini khususnya di daerah Bagan Datuk.

“Patik serta rakyat jelata sekalian amat bersyukur dengan pembangunan daerah Bagan Datuk, khususnya di pekan Bagan Datuk yang telah diberi nafas baharu dengan adanya Dataran Waterfront Bagan Datuk yang tersergam indah ini.

“Pembinaan Dataran Waterfront ini adalah satu lagi tarikan istimewa buat para pengunjung dari dalam dan luar daerah Bagan Datuk,” katanya ketika berucap di majlis perasmian dataran tersebut di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, projek pembinaan Dataran Waterfront itu meliputi beberapa komponen projek seperti pembinaan Terminal Jeti Pelancongan Bagan Datuk, kemudahan riadah dan rekreasi buat para pengunjung serta pemuliharaan fasad bangunan kedai dan naik taraf jalan di sekitar pekan Bagan Datuk.

Selain itu, katanya, landskap Dataran Waterfront Bagan Datuk turut diserikan lagi dengan adanya replika tempurung kelapa bersama-sama air pancut (fountain), bangunan BD Walk dan sebuah replika kapal jong.

Beliau berkata, terkandung dalam replika kapal itu adalah set alat permainan kanak-kanak dan informasi sejarah di bahagian dalamnya.

“Dengan terbinanya dataran ini, rakyat jelata khususnya penduduk Bagan Datuk dapat meluangkan masa untuk beriadah bersama keluarga di samping menikmati keindahan matahari terbenam berlatarkan muara Sungai Perak pada waktu senja.

“Bukan itu sahaja, aktiviti-aktiviti seperti perkhidmatan permainan kereta kanak-kanak, kumpulan busking tempatan dan gerai-gerai turut memeriahkan lagi suasana malam minggu di dataran ini sekali gus merancakkan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |