‘Sudah habis iddah, talak jatuh hujung tahun lalu’

8 hours ago 8

KUALA LUMPUR – “Saya single, bukan lagi isteri orang dan telah habis iddah”.

Demikian kata pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman apabila ditanya mengenai status terkini selepas sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Mohd Raizi Abd Razak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Norreen atau nama sebenarnya Norreen Iman Abdullah, 32, lafaz cerai tersebut sebenarnya sudah jatuh sejak hujung tahun lalu sebelum disahkan mahkamah menerusi prosiding yang berlangsung semalam.

“Seperti yang saya nyatakan, memang sudah sah jatuh talak daripada tahun lepas. Kali pertama lafaz cerai itu adalah pada hujung tahun lalu.

“Sebab itu saya sudah selesai tempoh iddah. Itu yang hakim sudah putuskan,” ujarnya.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan mereka yang sudah lama tidak tinggal sebumbung selain enggan terus hidup dalam keadaan tidak pasti mengenai status perhubungan.

“Perkara ini saya buat untuk diri saya. Saya tidak mahu hidup dalam keadaan tertanya-tanya boleh atau tidak. Jadi untuk elakkan apa-apa masalah daripada segi agama, kami rujuk ke mahkamah.

“Apabila hakim sudah putuskan, kami terima perkara ini. Saya fikir mungkin Tuhan jentik hati kami sebab sudah lama tidak sebumbung,” katanya.

Jelasnya lagi, tempoh pengesahan lafaz cerai mereka mengambil masa yang lama kerana perlu melalui prosedur dan tarikh ditetapkan mahkamah.

Norreen bagaimanapun tidak menafikan berasa sedih memandangkan rumah tangga yang dibina bersama Raizi bertahan hampir 12 tahun.

“Sudah tentu saya sedih sebab kami telah berkahwin hampir 12 tahun. Terlalu banyak memori bersama Raizi dan juga anak-anak.

“Apa yang boleh saya katakan, sekarang adalah fasa menerima dan saya hanya mahu bahagia. Itu sahaja,” katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem Kata Hati semalam.

Berkongsi mengenai keadaan anak-anak, Norreen meluahkan rasa syukur kerana proses transisi kehidupan mereka sudah dilakukan secara berperingkat sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan emosi anak-anak tidak terkesan secara mendadak.

Bahkan dia dan bekas suami juga sepakat meneruskan konsep ‘co-parenting’ demi memastikan anak-anak tetap menerima kasih sayang daripada ibu bapa walaupun sudah berpisah.

“Anak-anak okey sebab kami dah mulakan transisi supaya mereka tidak rasa jurang itu berlaku terlalu pantas. Saya tidak mahu mereka tertanya-tanya mana baba mereka.

“Saya tahu bagaimana rasanya membesar tanpa bapa, jadi saya tidak mahu perkara itu berulang kepada anak-anak,” katanya.

Terdahulu, berita perceraian pasangan itu mula menjadi perhatian apabila kedua-duanya dilihat hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 29 April lalu.

Untuk rekod, Norreen dan Mohd Raizi Abd Razak mendirikan rumah tangga pada 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Dalam perkembangan lain, Norreen bersama berisan pelakon, Nia Atasha, Yusof Hashim, Fazziq Muqris, Scha Alyahya dan Taqim Zaki bakal muncul dengan filem romantik komedi, Kata Hati pada 4 Jun depan. – KOSMO! ONLIN

Read Entire Article
Pertanian | | | |