Suasana pilu iringi pemergian Nur Izzati

19 hours ago 6

TANJUNG MALIM – Suasana pilu mengiringi majlis pengebumian remaja perempuan yang ditemukan meninggal dunia selepas sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor pada Sabtu lalu.

Jenazah Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul, 19, terdahulu disolatkan di Masjid Al-Ridzuaniah Felda Trolak Utara, Sungkai di sini pada pukul 2.20 pagi tadi.

Kira-kira 50 individu menyertai solat jenazah Allahyarham yang diimamkan oleh bapanya, Azizul Abdul Aziz, 48.

Sebaik sahaja selesai solat jenazah, ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran terdekat memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid tersebut.

Majlis pengebumian Allahyarham selesai pada pukul 3.05 pagi.

Ibu arwah, Mastura Md. Zin, 47, tidak dapat mengawal kesedihan dan perlu ditenangkan oleh ahli keluarga yang lain.

Sementara itu, Azizul berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat seperti Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang saya rasa kehilangan ini menyatukan kita. Saya ditegur sapa oleh orang Johor, orang Pulau Pinang yang ingin membantu mencari sehingga terjumpanya anak saya.

“Jadi itulah, saya banyak-banyak terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan. Alhamdulillah, pada 3.20 pagi, di pagi Aidiladha ini selamat dikebumikan, mudah urusannya,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin dilaporkan berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada pukul 11.58 pagi semalam.

Katanya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan berkenaan kira-kira pukul 1.38 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

Ujarnya, polis mengklasifikasikan kes penemuan Allahyarham sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |