Suami kerap masuk ‘live’ wanita lain, labur duit bagi ‘gift’

7 hours ago 1

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila suaminya didakwa kerap masuk ke siaran langsung (live) TikTok seorang wanita lain, malah sanggup berbelanja besar untuk memberi ‘gift’ kepada pengguna terbabit.

Menurut pendedahan wanita tersebut di kumpulan Facebook, Luahan Hati Seorang Isteri, suaminya bukan sahaja menyertai hampir setiap sesi live TikTok wanita itu, malah turut dilantik sebagai moderator siaran.

Kata wanita itu, meskipun suaminya mengaku sudah berkahwin dan tinggal berjauhan dengan isteri, dia tetap aktif menyokong siaran langsung pengguna tersebut dengan alasan kurang penonton.

“Setiap kali dia ‘live’, suami saya mesti masuk. Siap bagi gift, komen, like video dia. Bukan murah nak beli hadiah-hadiah dalam ‘live’, tapi suami sanggup berhabis duit. Kadang-kadang saya tengok dia tunggu sampai ‘live’ tu habis,” luah wanita itu.

Lebih mengecewakan, wanita itu pernah meminta suaminya menjauhkan diri daripada pengguna tersebut, namun lelaki terbabit dikatakan sanggup mencipta akaun TikTok baharu hanya untuk perkara sama.

“Kenapa dia perlu tipu? Kenapa dia sanggup sokong wanita itu sampai macam ini. Salah kah untuk saya sebagai isteri rasa marah? Salah kah untuk saya halang suami saya layan ‘live’ perempuan lain.

“Wanita itu saya tak nampak dia susah, lebih kepada hobi bersembang malam-malam dalam ‘live’. Bukan berniaga apa yang perlu orang ramai bantu,” katanya.

Luahan wanita itu turut mendapat perhatian ramai dan pelbagai reaksi ditinggalkan pengguna media sosial di ruangan komen dengan lebih 2,000 tanda suka.

“Kalau sampai sanggup buat akaun lain lepas kena tegur itu ada ‘something wrong somewhere’,” kata Aisyah.

“Awalnya nampak macam sekadar membantu biasa, tapi bila faham cerita puan ini rasa macam tak patut si suami terlalu obses layan sesi ‘live’ wanita lain,” ujar Lin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |