Muhammad Adeeb masih kritikal, lakukan pembedahan pada bahagian perut

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Keadaan Muhammad Adeeb Naqiuddin Mohd. Zarawi, 14, yang cedera parah selepas dikejar sekumpulan anjing liar di Rawang Jumaat lalu, masih tidak menunjukkan perubahan apabila kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.

Menurut bapanya, Mohd. Zarawi Manaf, 47, tekanan darah anaknya juga dilaporkan tinggi dan memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.

“Doktor ada memaklumkan pada saya, anak akan jalani pembedahan hari ini pada bahagian perut bagi mengeluarkan gumpalan darah.

“Keadaannya masih belum stabil sejak dimasukkan ke hospital. Kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan berharap yang terbaik,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertindak lebih agresif dalam menangani isu anjing liar di kawasan perumahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

Mohd. Zarawi berkata, insiden itu bukan pertama kali berlaku di kawasan tersebut kerana aduan berkaitan anjing liar telah dikemukakan penduduk beberapa kali, namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Pegawai MPS sendiri memaklumkan hanya terdapat kurang 10 perangkap anjing untuk seluruh kawasan Selayang. Ini tidak mencukupi,” ujarnya.

Jelasnya, operasi yang dilakukan oleh PBT dikatakan turut diganggu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan yang mendesak agar anjing-anjing itu tidak ditangkap atas alasan kasihan.

“Mereka (PBT) juga beri alasan kekurangan kakitangan serta gangguan daripada NGO pencinta haiwan,” katanya.

Tambahnya, kejadian menimpa anaknya itu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya tindakan lebih agresif diambil sejak awal.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Adeeb parah akibat terjatuh ke dalam selepas dikejar sekumpulan anjing liar ketika perjalanan balik ke rumah dari Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) menengah di Sekolah Rendah Agama As Sadiqqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, Muhammad Adeeb terjatuh ke dalam longkang selepas melanggar pembahagi jalan ketika dikejar sekumpulan anjing liar.

Turut terlibat dalam kejadian itu adalah rakannya, Muhammad Sa’di Mohd Sufian, 14, namun dia tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, persatuan penduduk di situ juga telah banyak kali membuat aduan mengenai anjing liar di kawasan terbabit kepada MPS memandangkan ia bukan kali pertama kes serangan anjing liar berlaku di kawasan itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |