Zamry bakal bersara lepas 30 kali terlibat operasi haji di Tanah Suci

5 hours ago 3

MEKAH – Pengalaman kali pertama seorang pemuda berusia 20 tahun kelahiran Kota Bharu menaiki bas seorang diri dari Mekah ke Madinah pada tahun 1986 semata-mata memenuhi tanggungjawab sebagai petugas Tabung Haji (TH) menyantuni dhuyuffurahman tidak dapat dilupakan.

Malah, Mohamad Zamry Mohd. Noor, 60, tidak menyangka tindakannya itu membuka peluang kepadanya menjadi petugas yang terlibat dalam 30 operasi haji Tanah Suci selama empat dekad berkhidmat di TH.

“Selalunya pengalaman kali pertama itu yang tidak dapat dilupakan. Bayangkan setahun selepas melapor diri menjadi kakitangan TH saya terlibat operasi haji di Tanah Suci.

“Pada awalnya saya mengalami kejutan budaya, dalam perjalanan ke Madinah itu saya tidak minum apatah lagi untuk makan kerana terlalu takut apabila berada di negara yang cukup asing. Ketika itu dunia bukan mempunyai internet seperti sekarang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat TH Mekah, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, katanya, ketika dalam perjalanan itu dia diarah turun bas untuk diperiksa oleh pihak berkuasa, bas dinaiki rosak selain beg pakaiannya terjatuh ketika bas membelok di Madinah.

“Saya sedar tanggungjawab saya, kena juga hadir ke Madinah seorang diri selepas pesawat membawa petugas haji turun di Jeddah ketika itu. Daripada cabaran itulah saya bangkit.

“Waktu itu saya bertugas sebagai kerani di Pejabat TH Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Dalam fikiran saya sehingga kini, kita mempunyai tanggungjawab yang amat besar memberi perkhidmatan terbaik kepada tetamu Allah,” katanya.

MOHAMAD ZAMRY (dua dari kiri) bercerita mengenai pengalamannya mengemudi beberapa bahagian operasi TH di Tanah Suci di Mekah baru-baru ini.

Mohamad Zamry menyatakan kesyukuran apabila sebelum ini diberikan kepercayaan oleh TH untuk menjalankan tugas tertinggi sebagai Pengarah Operasi Jeddah, Pengarah Operasi Mekah dan Pengarah Operasi Masyair.

“Saya berbangga dengan rekod peribadi ini selama 40 tahun berkhidmat dengan TH. Oktober ini saya akan bersara, jadi tahun ini saya diamanahkan sebagai Pengurus Khidmat Luar TH.

“Saya ucapkan terima kasih kepada TH kerana memberi tugas lebih ringan kali ini,” ujar bapa kepada lima anak dan datuk kepada tiga cucu itu.

Berkongsi mengenai bagaimana dia terpilih lebih 30 kali dalam operasi di Tanah Suci, ujarnya, dia percaya doa daripada jemaah haji itu sendiri adalah mujarab.

“Ketika memberi penerangan pulang kepada jemaah haji Malaysia saya minta mereka doakan agar kita semua dijemput lagi ke sini. Berkat doa jemaah haji ini, alhamdulillah saya diberi peluang dan terpilih setiap tahun.

“Dalam masa sama kita sebagai petugas perlu jujur, amanah santuni tetamu-tetamu Allah ini dengan mesra. Insya-Allah kita akan dapat fadilatnya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |