3 sindiket edar dadah tumpas, nilai rampasan RM16 juta

4 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM16.01 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan pertama dilakukan pada 2 Mei lalu melibatkan penahanan dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Filipina berusia 41 dan 31 tahun.

Katanya, pemeriksaan terhadap dua buah kereta jenis Honda City dan Honda Civic di Jalan Memanda 1, Ampang dan Jalan Madrasah, Taman Melati membawa kepada rampasan 197 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 205.18 kilogram (kg).

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6.56 juta dan disyaki diperoleh dari Kelantan sebelum digunakan kenderaan sebagai stor simpanan sementara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Rusdi, kedua-dua suspek direman 10 hari sehingga 9 Mei ini dan ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Sementara itu, serbuan kedua dilakukan JSJN Kuala Lumpur pada 5 Mei lalu di sebuah lot kedai di dalam pusat beli-belah Berjaya Times Square.

“Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan bersama rampasan syabu seberat 1.86 gram. Suspek disyaki aktif mengedar dadah sejak Februari lalu dan positif Methamphetamine serta memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Tambah beliau, lelaki berkenaan kini direman selama enam hari bermula 6 hingga 11 Mei ini.

Dalam serbuan ketiga pula, dilakukan pada 6 Mei melibatkan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 23 dan 33 tahun di sebuah kondominium mewah di Taman Mastiara.

“Turut dirampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, pil dan serbuk ecstasy serta Erimin 5 seberat 17 kg bernilai RM2.38 juta. Polis juga menyita wang tunai RM320,250 dan dua buah kenderaan mewah,” jelasnya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dalam tiga serbuan ini boleh menampung kegunaan kira-kira 3.2 juta penagih pada satu-satu masa.

“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang mengesan rangkaian sindiket dan aset yang dimiliki suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |