MESKIPUN baru mencecah 18 tahun, Danish Iftikhar Roslee berjaya mencuri tumpuan sebagai bintang pecut dalam pembikinan selepas meraih kemenangan berganda Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menariknya, pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan Malaysia (Sukma) 2024 itu mengesahkan sudah berada dalam senarai awal ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) selain turut menyatakan kesediaannya untuk beraksi jika diberi peluang.
“Kalau ada rezeki ke ATF, saya akan bagi yang terbaik. Buat masa ini saya puas hati dengan pembukaan musim walaupun banyak lagi kejohanan lebih besar sedang menanti,” ujarnya yang kini mengintai peluang mencatat masa peribadi baharu.
Selepas mencipta kejutan dengan menewaskan pelari lebih senior dalam acara 100 meter (m), Danish membuktikan keupayaannya bukan sekadar tuah apabila sekali lagi mengungguli 200m menerusi catatan 21.81 saat (s) pada kejohanan berlangsung di Stadium Merdeka itu.
“Saya tak lambatkan larian, saya cuma kawal pecutan di fasa akhir untuk elak kecederaan.
“Sebab jarak masa antara separuh akhir dan final sangat singkat, jadi saya fokus pada pengurusan badan dan tenaga,” jelas Danish yang turut mengakui dia tidak sempat melakukan pemanasan badan mencukupi sebelum perlumbaan akhir.
Biarpun kurang masa rehat dan persiapan fizikal, Danish kelihatan tenang di trek iaitu petunjuk jelas mengenai ketahanan mental yang jarang dimiliki atlet muda seusianya.
“Saya cuma ikut apa yang kami dah latih. Bila tiba hari perlumbaan, saya serah segalanya dan buat apa yang sudah dirancang. Itu cara saya kekal tenang dan konsisten,”jelasnya.
Kemenangan berganda tersebut bukan kali pertama kali Danish, penampilan konsisten dalam kejohanan itu memperlihatkan kematangannya semakin menyerlah dan wajar dipantau rapat oleh pihak Olahraga Malaysia (MA).