MACHANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta dari belakang ketika sedang berhenti untuk masuk ke kawasan simpang di Kilometer 55, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai dekat Kampung Banggol Kulim di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pada pukul 10.25 pagi tadi selepas hampir 19 jam bertarung nyawa.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Mercedes Benz dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang mangsa dan pembonceng dari arah sama telah berhenti untuk masuk ke simpang sebelah kanan.

“Pemandu kereta Mercedes Benz itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian belakang motosikal tersebut.
“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan mereka dirawat di HSIP,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, penunggang motosikal itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala kira-kira pukul 10.25 pagi tadi semasa menerima rawatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE