‘Di Brunei, susah saya nak kerja’ – Aziz Harun menetap di Malaysia

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Enggan berulang-alik antara dua negara, sejak dua tahun lalu penyanyi asal Brunei, Aziz Harun memilih untuk menetap di Kuala Lumpur.

Aziz atau nama lengkapnya Abdul Aziz Harun, 27, berkata, keputusan berpangkalan di Malaysia adalah bagi melancarkan lagi kerjaya muziknya.

“Di Brunei, agak susah untuk saya bekerja sebab semua urusan membabitkan pihak di Malaysia yang perlu dibuat melalui ‘zoom meeting’ atau video WhatsApp.

“Jadi, saya rasa lebih mudah apabila tinggal di sini sebab boleh bersemuka terus dengan pihak media dan rakan industri.

“Kalau rindu rumah pun, penerbangan ke Brunei cuma dua jam lebih. Keluarga saya juga kerap bercuti di Kuala Lumpur, jadi saya tidak rasa terlalu jauh dari mereka,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Latihan Pestapora Malaysia di The Campus Ampang, semalam.

Tambah pelantun lagu Ketipak Ketipung Raya itu, dia meluahkan rasa syukur apabila dapat memberikan sepenuh tumpuan perhatian selepas mengambil keputusan tersebut.

“Alhamdulillah, sejak habis belajar dan dapat menetap di sini sepenuhnya, saya boleh fokus dalam kerja studio dan semakin aktif berkarya.

“Lagu Ketipak Ketipung Raya pun menjadi, lagu Janji juga berjaya hasil kolaborasi dengan Aisya Retno dan beberapa artis lain.

“Saya rasa semuanya berjalan dengan baik, momentum itu semakin terasa sekali gus menunjukkan penghijrahan ke sini keputusan terbaik,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aziz berkata, dia juga berasa terinspirasi dengan suasana kerja yang sihat serta kolaboratif bersama penggiat seni tempatan.

“Saya rasa 100 peratus sangat positif, saya sayang Malaysia. Bila tinggal di sini boleh terinspirasi dengan artis-artis lain, lebih-lebih lagi bila bekerjasama dengan mereka dalam studio.

“Kita boleh saling bertukar idea dan itu sangat membantu dalam proses berkarya. Jadi, ia sentiasa menjadi persekitaran yang sihat di sekelilingnya,” katanya.

Sementara itu, Aziz Harun bakal mempersembahkan beberapa lagu buat pertama kalinya di Latihan Pestapora Malaysia yang akan berlangsung pada 26 Julai 2025. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |