KLANG – Tiga pencuri kereta Geng Along Jep mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyembunyikan dan memiliki termasuk rangka kereta curi.
Ketiga-tiga tertuduh iaitu Tomi Andhika Kosnanto dan Muhammad Razahin Zailan yang masing-masing berusia 25 tahun serta Mohd. Hafifi Mohamad, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Penolong Pendaftar Wan Muhammad Kushairi Wan Roslei.
Ketiga-tiga suspek masing-masing didakwa menyembunyikan harta curi iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga dan Perodua Kancil serta motosikal jenis Honda C100.
Perbuatan itu dilakukan kesemua mereka yang merupakan penganggur di hadapan sebuah dobi Taman Raja Uda; Jalan Wan Hassan Batu 4, Rantau Panjang dan sebuah blok flat di Bukit Tinggi antara 28 Disember 2024 hingga 19 April tahun ini.
Sabit kesalahan setiap tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Mohd. Hafifi turut mengaku bersalah memiliki rangka Perodua Kancil yang mana dia gagal memberikan keterangan memuaskan bagaimana memilikinya di tepi landasan keretapi Jalan Kampung Delek Kiri, kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 23 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.
Pada prosiding itu, Tomi Andhika bagaimanapun tidak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan sebuah kereta jenis Proton Iriz milik seorang lelaki berusia 54 tahun di Teluk Gadong Besar kira-kira pukul 8.30 pagi pada 19 Mac lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika didapati bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli dan Sulfie Abu Hassan manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam James Chan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan
masing-masing diikat jamin sebanyak RM2,500 hingga RM6,000 dan menetapkan tarikh prosiding termasuk jatuh hukum pada 11, 23 dan 30 Jun.
Kosmo! Isnin lalu melaporkan kelicikan empat sahabat dikenali Geng Along Jep mencuri kenderaan bagi kegunaan harian sejak hujung tahun lalu tumpas selepas mereka dicekup polis di sekitar daerah ini, bulan lalu.
Kesemua lelaki tempatan berusia 25 hingga 40 tahun itu menyasarkan mangsa yang meninggalkan kenderaan dengan kunci dan enjin tidak dimatikan di tepi jalan.- KOSMO! ONLINE