KUALA LUMPUR – Kerajaan berupaya memberi lebih banyak peruntukan kepada setiap kementerian, jabatan mahupun penyelidikan dalam bidang perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Perdana Menteri berkata, langkah itu namun bermakna lebih cukai perlu dikenakan dan akan menjadi beban bukan sahaja kepada orang awam, tetapi juga doktor.
“Semua kementerian, jabatan dan pusat penyelidikan mahu… sudah tentu dan ia berhak lebih agihan, tetapi kita harus lihat kepada sekolah, infrastuktur, klinik dan hospital.
“Cabaran ini mesti dihadapi dengan adil selepas memahami limitasi. Pembuat polisi dalam kementerian perlu tahu apa boleh dan tidak boleh untuk pelaksanaan paling efisien,” katanya pada majlis Perasmian Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect 2025 di Bangsar South di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, CRM telah menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada pendapatan kasar negara dan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan sejak 2012.
Menurut beliau, CRM perlu meneroka kerjasama lebih luas dengan negara anggota ASEAN dan institusi tempatan bagi menghasilkan penemuan baharu yang mampu mengurangkan kos perubatan serta sesuai dengan iklim serantau.
“Cabaran kita ialah untuk memastikan kos perubatan tidak melambung.CRM punya tugas besar dalam bidang penyelidikan klinikal dan ada sinergi dengan semua institusi penyelidikan.
“Dalam mesyuarat Majlis Sains Negara, saya memberikan arahan tiada satu institusi bekerja berasingan. Keberkesanan CRM mesti dilakukan dengan kerjasama semua institusi penyelidikan dan universiti tempatan.
“Dengan cara ini, kita akan memastikan hasilnya itu jauh lebih berkesan. Kita dapat melihat hasilnya sekarang, tetapi kita mahu strategi bersama ASEAN supaya kerjasama itu lebih dekat dan mantap,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu penyelidikan memberi tumpuan kepada masalah yang dihadapi majoriti rakyat berbanding menumpukan kepada penyakit-penyakit di barat.
Katanya, pada tahun 70an, tumpuan di Malaysia ketika itu adalah bagi penyakit malaria, cacing kerawit dan batuk kering.
“Kita harus memastikan rakyat mendapat manfaat daripada fasiliti terbaik dan apabila sebahagian kita sakit, kita diberikan rawatan terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE