Suami isteri edar dadah guna kereta sewa dicekup

5 hours ago 4

SEPANG- Taktik sepasang suami isteri dan dua rakan mengedar dadah menggunakan kereta sewa tumpas selepas mereka ditahan polis dalam serbuan yang dijalankan di sekitar daerah ini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pasangan suami isteri warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 39 tahun itu berjaya ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM16,500.

Menurutnya, menerusi serbuan pertama, polis merampas 84.32 gram dadah jenis syabu, 65 gram heroin, 14 gram ketamin dan 300 biji eramin 5 serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengedar dadah.

“Modus operandi digunakan suspek adalah menjadikan kereta sewa sebagai pengangkutan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Sepang dan daerah-daerah berhampiran.

“Suspek dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak 2016 dengan menjadikan hotel sebagai lokasi penginapan.

“Selain itu, kita juga mendapati pasangan terbabit menyara kehidupan mereka dengan menggunakan wang yang diterima sebagai upah mengedar dadah kira-kira RM1,600 bagi setiap penghantaran,” katanya menerusi sidang akhbar di IPD Sepang hari ini.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata, saringan awal mendapati suspek lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek wanita negatif dadah.

Jelasnya, semakan turut mendapati suspek lelaki itu mempunyai enam rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah serta satu kes dikehendaki (wanted).

Katanya lagi, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap pasangan suami isteri terbabit kemudiannya membawa kepada penangkapan dua lagi suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

“Dalam serbuan kedua, polis merampas dadah jenis syabu seberat 515 gram yang dianggarkan bernilai RM20,000 bersama sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah.

“Saringan awal polis juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methampethamine dengan salah seorang mereka mempunyai lapan rekod lampau serta dua kes dikehendaki,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |