Sotong ada ikan dalam perut bukan bukti peniaga menipu – PHM

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan supaya tidak terburu-buru menuduh peniaga menipu hanya kerana menemui ikan di dalam perut sotong yang dibeli di pasar.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata demikian susulan tular dakwaan seorang pembeli yang mendakwa ditipu selepas menemui ikan di dalam sotong yang dibelinya.

Menurut PHM, ramai pengguna terus beranggapan berat timbangan sotong berkenaan telah ‘dicuri’ apabila menemui ikan atau bahan lain di dalam badannya.

Jelasnya, sotong merupakan haiwan pemangsa yang menjadikan ikan kecil, udang dan pelbagai hidupan laut lain sebagai makanan, menyebabkan makanan terakhirnya kadangkala masih berada dalam badan ketika ditangkap.

“Kadang-kadang ada telur, ada dakwat, ada isi perut dan ada juga ikan kecil yang belum sempat dihadam.

“Itu bukan semestinya disumbat oleh peniaga,” katanya.

PHM berkata, keadaan itu sama seperti membeli ayam yang masih mempunyai bahagian dalaman, ikan yang mengandungi isi perut atau ketam yang mempunyai sedikit lumpur kerana ia merupakan komponen semula jadi haiwan tersebut.

Sehubungan itu, PHM menegaskan pengguna tidak seharusnya terus membuat tuduhan seperti peniaga menipu, sengaja menyumbat ikan atau mengaitkan semua peniaga pasar dengan perbuatan tersebut tanpa bukti yang jelas.

Menurutnya, pengguna yang ragu-ragu boleh meminta peniaga membersihkan sotong sebelum ditimbang, bertanya sama ada sotong yang dijual telah dibersihkan atau membandingkan harga antara sotong bersih dan tidak bersih.

Tambah PHM, bukti perlu disimpan dan aduan boleh dibuat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat petunjuk jelas berlaku penipuan yang disengajakan.

“Dalam isu makanan basah, bukan semua benda yang mengejutkan itu penipuan. Kadang-kadang, ia cuma biologi.

“Pengguna bijak bukan sekadar pandai marah. Pengguna bijak tahu beza antara risiko, bukti dan sangkaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |