‘Sombong? depan tandas pun orang nak bergambar, saya layan’

18 hours ago 9

MULA dikenali menerusi drama Dia Yang Ku Cinta pada 2019, Siti Khadijah terus mengorak langkah apabila wajahnya semakin kerap menghiasi televisyen dan layar perak.

Satu demi satu watak dipenuhi dengan baik sekali gus menyerlahkan sisi personaliti yang digilap daripada pertandingan Gadis Panca setahun sebelum bergiat dalam arena lakonan.

Namun di tengah kemilau kemasyhuran yang diraih melalui hasil kerja keras, timbul dakwaan menyatakan pemilik nama lengkap Siti Khadijah Abdul Halim itu antara aktres sombong.

Tidak cepat melatah, sebaliknya tuduhan tersebut dibalas dengan bersahaja apabila menegaskan sepanjang lebih enam tahun bergelar anak seni, frasa sombong tiada dalam kamus hidupnya.

Baginya yang selesa disapa Siti, tiada manfaat pun bersikap hidung tinggi terutama terhadap penyokong yang meletakkan dirinya pada tahap sekarang.

“Mungkin jawapan ini cliche. Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Tapi saya rasa tuduhan itu tak masuk akal kerana nak mati baru saya cakap tak boleh bergambar. Ibaratnya, ‘saya nak mati ni, minta maaf, oksigen drop kak’.

“Walaupun tengah makan, saya boleh berhenti untuk penuhi hasrat orang. Pernah depan tandas di sebuah taman tema, nak tukar baju pun orang nak bergambar, saya layan. Boleh tanya orang sekeliling saya.

“Jadi untuk dakwa saya sombong itu saya rasa kelakar. Mungkin orang itu memang tak suka saya dan nak sebarkan naratif (menyombong), saya okey. Tak mengapa. Saya masih bernafas seperti biasa,” katanya kepada HibGlam.

Mengenai dakwaan yang berlegar dalam Threads, Siti mengakui hanya mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan rakan-rakan memandangkan dia tidak mempunyai akaun platform berkenaan.

SITI KHATIJAH bakal muncul dengan sebuah filem epik seram berjudul Khadam yang memasuki pawagam bermula 11 Jun ini bergandingan dengan Remy Ishak dan Aghniny Haque.

Asam garam

Tambah bintang filem seram Khadam itu, dia yakin netizen mampu membuat pertimbangan sebelum sepakat menyerang seseorang artis tanpa usul periksa.

Baginya gosip, usikan mahupun kritikan asam garam kerjaya pilihannya asalkan kecaman sebegitu tidak menyentuh keluarga mahupun menggunakan bahasa kesat.

“Sejujurnya saya sukakan kerjaya saya. Saya memang ‘sign up’ untuk berlakon dan menghiburkan orang. Jadi sudah sedia berdepan sepak terajang ujian.

“Kalau netizen cakap, ‘kau yang nak jadi pelakon, kau hadaplah kena kutukan, kena cemuhan’, itu saya setuju tapi kalau dia (netizen) mempunyai empati yang tinggi, dia tahu saya juga manusia yang ada perasaan.

“Kita hadap sahaja selagi tidak melampau. Lagipun saya tiada akaun Threads, tak dapat balas tuduhan kerana perkara tersebut dalam platform itu,” ujarnya.

Matanya kembali bersinar apabila berkongsi tentang filem lakonannya, Khadam yang bakal ditayangkan pada 11 Jun ini.

Akui Siti, dia teruja berpeluang beraksi di samping Datuk Remy Ishak dan aktres Indonesia, Aghniny Haque.

“Saya membawakan watak Manis iaitu adik kepada Melur lakonan Aghniny. Saya juga teruja beraksi dalam filem terbitan Red Communications ini, apatah lagi dengan Datuk Remy.

“Latar masa sekitar tahun 1950-an itu sendiri menunjukkan keunikan Khadam, belum lagi naskhah serta plotnya. Memang menarik,” ujarnya.

Khadam arahan Shamyl Othman terbitan Red Communications dan Komet Productions mengupas isu wanita, kekeluargaan dan warisan yang membawa penonton mengembara ke terowong masa.

Read Entire Article
Pertanian | | | |