Skuad B-23 guna anak Malaysia tulen

6 hours ago 3

PENGENDALI skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain mengesahkan tiada kelibat pemain ‘Malaysian Abroad’ atau berdarah warisan dalam senarai panggilan ke kem latihan pusat menjelang saingan Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta Julai depan.

Menurut Nafuzi, fokus barisan kejurulatihan ketika ini adalah memastikan anak-anak tempatan memiliki ruang dan peluang untuk serlahkan bakat mereka pada tiga kejohanan penting yang bakal diharungi nanti.

Malah, Nafuzi mengakui lapan pemain muda yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad senior Harimau Malaya pada bulan lalu akan turut menyertai pasukan seperti Ubaidullah Shamsul Fazili dan Haqimi Azim Rosli.

“Kita tak ada ‘Malaysian Abroad’ dan hanya memanggil pemain tempatan. Ramai bakat berpotensi di Liga Super.

“Kita melihat dari segi potensi pemain yang saya rasa bersesuai untuk dengan corak serta permainan kita dan sesetengah pemain pun pernah mewakili skuad B-23 dan B-19 sebelum ini.

“Pemain yang belum pernah mewakili pasukan sebelum ini turut akan diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka,” katanya.

Pada saingan Piala ASEAN B-23 2025 nanti, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Indonesia, Filipina dan Brunei dengan juara kumpulan dan naib juara terbaik akan layak ke pusingan separuh akhir.

Mengulas mengenai sasaran, Nafuzi melihat peluang semua negara agak seimbang, tetapi fokus perlu diberikan pada semua perlawanan.

“Kumpulan kita saja yang ada empat pasukan, manakala kumpulan lain semua tiga. Sebab itu aksi pertama bertemu Filipina bakal menjadi penentu selain perlawanan menentang tuan rumah yang dijangka sukar nanti,” katanya.

Saingan Piala ASEAN B-23 telah dianjurkan sejak 2005 dan Malaysia tidak pernah bergelar juara dengan pencapaian terbaik di kedudukan keempat pada penganjuran edisi pertama dan edisi 2023.

Read Entire Article
Pertanian | | | |